ATAS kertas, Kelantan memang hebat.
Mereka hanya tewas sekali dalam 18 perlawanan dan berada di tangga kedua Liga Super setakat ini.
Bagi membuktikan lagi kehebatan yang ada pada skuad The Red Warriors, mereka berjaya mara ke pusingan kedua Piala AFC.
Segalanya nampak cukup baik dan sempurna perjalanan The Red Warriors untuk mencipta sejarah baharu bola sepak negeri Cik Siti Wan Kembang ini, selain menambah koleksi piala yang sudah berada di dalam simpanan.
Kali ketiga beraksi di pentas akhir Piala FA malam ini, ia merupakan peluang terbaik buat Kelantan menghapuskan badi selepas tewas kepada Selangor pada musim 2009 dan Terengganu tahun lalu.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, perjalanan Kelantan ke pentas final kali ini bukanlah semudah disangka apabila mereka hanya menang tipis dalam tiga perlawanan seawal pusingan pertama kecuali ketika selesa menewaskan pasukan berstatus kelab, KL SPA pada suku akhir.
Mereka terpaksa berdepan cabaran sengit daripada Sarawak seawal pusingan pertama, namun jaringan Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Muhammad berjaya membenam cabaran anak-anak buah Robert Albert di Kota Bharu dengan keputusan 2-1.
Pusingan kedua dilalui Kelantan dengan lebih selesa apabila mereka hanya berdepan Kuala Lumpur yang dianggap sebuah pasukan yang cukup jauh berbeza prestasinya berbanding The Red Warriors.
Sikap memandang rendah kemampuan Kuala Lumpur hampir memerangkap Kelantan apabila mereka menang tipis 3-2 sebelum pusingan suku akhir menemukan mereka dengan KL SPA.
Pengajaran ketika aksi menentang Kuala Lumpur pantas dipelajari anak-anak buah Bojan Hodak apabila mereka tidak mempunyai masalah untuk mengatasi kelab dari ibu kota itu dengan agregat 5-0.
Semakin jauh perjalanan, semakin getir cabarannya apabila Kedah menanti mereka di peringkat separuh akhir. Perlawanan pertama di Kota Bharu menyaksikan anak-anak buah Wan Jamak Wan Hassan berjaya mengekang asakan Kelantan apabila mereka berjaya memperoleh keputusan seri 1-1.
Bertandang ke Stadium Darul Aman, Bojan menyedari peluang Kelantan untuk menang amat tipis apabila rekod Kelantan beraksi di sana sebelum ini tidak begitu baik.
Kebimbangan Bojan itu seakan berasas apabila mereka dikejutkan dengan dua gol Khyrill Muhymeen pada babak pertama.
Ketika itu, impian Kelantan untuk melangkah ke final Piala FA seakan-akan tinggal harapan.
Aksi mantap dipamerkan Kedah seakan gagal disaingi Kelantan sehinggalah dua minit selepas sepak mula babak kedua, pemain pertahanan, Obinna Nwaneri menghidupkan semula harapan yang hampir pudar.
Muhammad Ghaddar akhirnya berjaya meletakkan pasukannya ke perlawanan akhir apabila menjaringkan gol penyamaan dan Kelantan layak ke pentas final melalui peraturan gol di tempat lawan.
Perlawanan akhir kali ini menyaksikan Kelantan akan berdepan sebuah pasukan berstatus kelab yang sedang meningkat naik, Sime Darby FC.
Atas kertas sudah tentu kelebihan berpihak kepada The Red Warriors dan ini merupakan percubaan ketiga mereka untuk menjulang Piala FA selepas gagal dalam dua percubaan sebelum ini.
Bagi merealisasikan impian tersebut, Kelantan telah bekerja keras mempersiapkan pasukan mereka untuk tujuan itu.
Bagaimanapun, apa yang merisaukan para peminat adalah pemain diserang sindrom 'keyakinan melampau' yang mampu memusnahkan impian mereka untuk membawa pulang Piala FA ke Kota Bharu.
Kekalahan Sime Darby dalam dua perlawanan berturut-turut tidak harus menjadikan kem Kelantan selesa dengan perkembangan tersebut kerana ia bukan kayu pengukur kekuatan pasukan yang digelarsilent killer itu.
Beraksi dalam Liga Premier, cabaran anak-anak buah Ismail Zakaria tidak perlu dipandang enteng kerana mana-mana pasukan yang beraksi di pentas final, sama ada mereka daripada Liga FAM sekalipun akan memiliki semangat yang berbeza.
Tewas dua kali dalam saingan liga sebelum ini pasti mendorong Sime Darby tampil lebih garang.
Secara signifikannya, Sime Darby pasti akan menggunakan peluang melayakkan diri ke perlawanan akhir ini untuk mencipta saat indah, sekali gus memahat sejarah menjadi pasukan kelab pertama merangkul Piala FA.
Hakikat itu perlu disedari semua pemain The Red Warriors ketika mereka kini ghairah untuk memburu gelaran seterusnya.
Kealpaan pastinya menjadi duri dalam daging memusnahkan impian lebih 50,000 penyokong yang akan bertandang ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Cabaran daripada Sime Darby perlu dipandang serius, kali ketiga ke perlawanan akhir, seharusnya peluang itu tidak dipersia-siakan kerana dibimbangi saingan musim-musim mendatang menjadi lebih sengit dan Kelantan sukar mendapat peluang seumpama ini lagi.
Kepada peminat The Red Warriors, pesanan yang tidak sudah-sudah.
Jaga tingkah laku dan menonton dengan semangat kesukanan yang tinggi.
Antara faktor kekalahan Kelantan musim lalu yang tidak boleh dinafikan adalah masa kecederaan yang agak panjang.
Dalam situasi perlawanan biasa, mungkin hanya tiga atau empat minit masa kecederaan diberikan dan jika itu berlaku, Kelantan malam ini akan turun selaku penyandang juara dan bukannya finalis.
Tetapi apakan daya, gara-gara penyokong yang kononnya peminat fanatik membaling mercun menyebabkan perlawanan dihentikan, ekoran itu tempoh masa kecederaan diberikan agak panjang dan Terengganu lebih bernasib baik menyamakan kedudukan dan berjaya menjaringkan gol pada masa tambahan.
Sumber : Kosmo
No comments:
Post a Comment