Nuffnang Ads

Friday, May 18, 2012

'Ronaldinho bukan ancaman' : Bojan


KURANG 48 jam sebelum sepak mula perlawanan akhir Piala FA, pengendali Kelantan, Bojan Hodak memulakan perang psikologi selepas mendakwa penyerang import Sime Darby FC, Patrick Ronaldinho Wleh bukanlah penyerang yang terlalu berbahaya buat pasukannya.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa pemain berasal dari Liberia itu merupakan antara pemain import terbaik yang beraksi dalam Liga Premier ketika ini, termasuk meledakkan lima gol pada aksi Piala FA.
Menurutnya, Liga Premier dan Liga Super mempunyai tahap berbeza serta aksi yang dipamerkan oleh setiap pasukan juga berlainan selain kemampuan para pemain juga pastinya tidak sama.
“Dia seorang pemain yang bagus pada Liga Premier tetapi Liga Super mempunyai tahap yang berbeza. Dia mungkin boleh menjaringkan gol di sana tetapi saya tidak pasti sama ada dia boleh menjaringkan gol jika beraksi di Liga Super.
“Jika anda lihat, terlalu banyak ruang pada aksi Liga Premier. Ketika dia menjaringkan gol tiada pemain lawan berada berhampirannya. Saya fikir itu tidak akan terjadi dalam Liga Super,” katanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, barisan pertahanannya perlu lebih fokus dalam menangani serangan pasukan lawan dan menutup semua ruang serta tidak membenarkan Ronaldinho dan seorang lagi penyerang Sime Darby, Razali Umar Kandasamy bergerak bebas.
Mengulas mengenai kekuatan Sime Darby, Hodak berkata, pasukan tersebut mempunyai disiplin yang cukup baik biarpun tidak memiliki pemain bintang, selain daripada pemain yang rajin dan berkualiti.

“Dalam tempoh 90 minit mereka tidak berubah. Sama ada mereka mendahului atau ketinggalan, kekuatan mereka tetap sama. Kekuatan utama mereka adalah kerjasama.
“Semua orang bercakap Kelantan akan menjaringkan gol dengan banyak dan menang tetapi saya tidak mahu ia menjadikan kita terlampau yakin.
“Saya tidak risau sama ada perlawanan berlarutan ke masa tambahan ataupun penalti, kita mempunyai kualiti dan bersedia untuk itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hodak memberitahu, beliau kini sudah mengenal pasti lapan pemainnya yang akan beraksi pada perlawanan tersebut, namun tiga lagi pemain akan diputuskan sebelum perlawanan.
“Saya sudah ada pemain yang dalam perancangan. Lapan daripada mereka hampir pasti tetapi tiga lagi saya akan putuskan. Saya tidak akan beritahu anda sekarang.
“Semua orang mahu bermain pada perlawanan akhir tetapi ini adalah bola sepak, saya hanya perlu memilih 11 pemain. Apa yang boleh saya lakukan, saya mahu mereka yang dipilih memberi komitmen 200 peratus,” jelasnya.

Sumber : Kosmo

No comments:

Post a Comment