PENYERANG Kelantan Dennis Antwi (kiri) diasak pertahanan Terengganu pada aksi pusingan kedua Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, di Kota Bharu, malam tadi.
MASIH segar dengan kejayaan menjulang Piala FA buat kali pertama Sabtu lalu, Kelantan mencipta satu lagi sejarah apabila melangkah ke suku akhir Piala AFC 2012 selepas menewaskan Terengganu 3-2 pada aksi pusingan kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.
Perlawanan yang bermula lewat 40 minit akibat hujan lebat dan padang bertakung, tidak menghalang tuan rumah meneruskan kegarangan mereka apabila mendahului 1-0 seawal minit kedua menerusi penyudah Nor Farhan Muhammad.
Kelantan menggandakan kedudukan, juga hasil jaringan Nor Farhan pada minit ke-18, sebelum sepakan percuma kencang Rizal Fahmi Rosid gagal diselamatkan Sharbinee Allawee Ramli pada masa kecederaan babak pertama untuk memberi pendahuluan selesa 3-0 buat skuad kendalian Bojan Hodak itu.
Namun Terengganu yang dibimbing bekas jurulatih Kelantan, Peter Butler bangkit pada babak kedua dengan memperoleh gol pertama menerusi sepakan lencong Ismail Faruqi Ashari yang menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-56.
Kelantan terpaksa beraksi 10 pemain pada minit ke-81 selepas Obinna Nwaneri dilayangkan kad merah selepas menjatuhkan Abdul Hadi Yahaya di dalam kotak penalti dan Terengganu merapatkan kedudukan 3-2 hasil sepakan penalti yang disempurnakan Francis Forkey Doe, dua minit kemudian.
Biarpun Terengganu berusaha mencari gol penyamaan bagi mengheret permainan ke masa tambahan, benteng pertahanan Kelantan kebal mempertahankan kelebihan satu gol itu untuk memastikan mereka mara ke peringkat suku akhir yang dijadual berlangsung secara timbal balik, 18 dan 25 September depan.
Sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment