PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat mahu barisan pertahanan mengawal ketat penyerang import berbisa Sime Darby Patrick Ronaldinho Wleh yang boleh mengucar-kacirkan kubu mereka pada final Piala FA, Sabtu ini.
Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek berkata, barisan pertahanan The Red Warriors harus lebih berwaspada dengan pergerakan jentera serangan Sime Darby diketuai pemain dari Liberia itu.
“Pergerakan Ronaldinho perlu dikawal ketat kerana pemain itu ada kemahiran penyudah tajam yang boleh menghasilkan gol buat pasukannya.
“Kami tidak memandang mudah pertemuan dengan Sime Darby, Sabtu ini sebaliknya mengambil perhatian lebih serius tentang perlawanan itu nanti kerana sebelum ini pasukan itu banyak membuat kejutan apabila berjaya menewaskan Johor FC dan Terengganu untuk layak ke final Piala FA,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.
Apek mengingatkan pertemuan dengan Sime Darby itu tidak boleh dipandang mudah dan meminta rakan sepasukan berwaspada dalam perlawanan itu bagi mengelakkan kesilapan yang boleh mengundang kekalahan kepada The Red Warriors.
Pemain pertahanan Kelantan, S Subramaniam pula berkata: “Saya percaya kehadiran pemain import, Obina Nwaneri menguatkan lagi barisan pertahanan kami. Ini dilihat sebagai tunjang menyekat kemaraan pemain itu.
Sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment