Nuffnang Ads

Friday, January 25, 2013

Bojan resah prestasi hambar Kelantan



Selepas mengharungi enam perlawanan dalam tempoh 18 hari, pengendali Kelantan, Bojan Hodak akhirnya akui kehilangan dua watak utama iaitu Mohamad Ghaddar dan Norshahrul Idlan Talaha memberi impak terhadap prestasi pasukannya pada saingan Liga Malaysia musim ini.


Hodak yang merangkap Pengurus Kelantan berkata, ketiadaan beberapa tonggak utama musim lalu menyebabkan jentera serangan pasukannya semakin hilang taring sekali gus menyaksikan prestasi hambar mereka apabila hanya mampu mengutip enam mata daripada lima perlawanan Liga Super setakat ini.

“Saya hilang Mohamad Ghaddar yang menjaringkan 21 gol, Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) 10 gol, Mohd Nurul Azwan (Roya) dan S Chanturu pada musim ini. Lebih perit, penyerang yang kita ada sekarang gagal mempamerkan prestasi sebenar mereka,” katanya kepada Sinar Harian sejurus perlawanan berakhir.

“Setiap mata dan perlawanan cukup penting bagi kami untuk menutup cerita malang ini. Kebanyakan pasukan bergantung pada pemain import dan saya harap Keita Mandjou kembali dengan prestasi sebenarnya dan menjaringkan gol untuk Kelantan.

Luahan jujur beliau itu tidak sukar difahami rentetan kegagalan barisan pemainnya memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri yang menyaksikan The Red Warriors berputih mata setelah sekadar seri 0-0 dengan Negeri Sembilan di Kota Bharu, malam kelmarin.



Menurut jurulatih dari Croatia itu, tempoh rehat selama tiga minggu bakal dipergunakan sebaik mungkin bagi memperbaiki kelemahan pasukannya sebelum bertemu Selangor di Shah Alam, pertengahan Februari depan.

“Kehadiran Mohd Faiz Subri, Muhammad Izuan Salahuddin dan peningkatan prestasi penyerang muda, Mohd Khairul Izuan Rosli sedikit sebanyak melegakan kami. Saya harap selepas tempoh rehat itu, kami akan tampil dengan penuh kelainan,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi pasukannya ketika bertemu skuad Jang, Hodak mengakui barisan pemainnya jelas berdepan kesulitan untuk mempamerkan aksi terbaik setelah terpaksa beraksi di atas padang yang becak pada perlawanan tersebut.

“Persembahan yang teruk daripada kedua-dua pasukan. Kami mengharungi enam perlawanan dalam tempoh yang singkat dan anda boleh lihat pemain saya begitu penat. Malah rentak permainan juga turut terjejas.

“Seperti bertemu Felda United FC tempoh hari, meletakkan sembilan pemain berkampung di bawah, menyebabkan kami sukar menembusi pintu gol Negeri Sembilan.



Sukar bagi kami bermain dengan cara sedemikian, lebih-lebih lagi set piece dan jentera tengah kita juga gagal berfungsi dengan lebih berkesan pada perlawanan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment