Gol pada masa kecederaan dalam separuh masa kedua melalui pemain pertahanan, Zairul Fitree Ishak menghadiahkan tiga mata berharga kepada Kelantan dengan jaringan 2-1 di Stadium Sultan Muhammed IV, semalam.
Walaupun ketinggalan melalui jaringan Helmi Remeli pada minit ke-13, Kelantan hanya mengambil masa selama lima minit untuk menyamakan kedudukan menerusi ketua pasukan, Mohd. Badri Mohd. Radzi.
Namun, kemenangan itu jelas belum menggembirakan sepenuhnya penyokong The Red Warriors yang masih bimbang dengan persembahan hambar penyerang import baru, Keita Mandjou.
Perlawanan yang berlangsung atas padang basah menyebabkan corak hantaran pendek The Red Warriors serba tidak menjadi biarpun tuan rumah bermula garang untuk tempoh 10 minit pertama, namun beberapa percubaan dari luar petak penalti yang dilakukan semuanya tersasar.
Penyerang The Red Warriors, Mohd. Haris Safwan Kamal memiliki peluang terbaik seawal minit keempat tetapi rembatan kencangnya tersasar di sebelah kanan gawang PKNS FC.
Selang empat minit kemudian, Indra Putra Mahyuddin turut mencuba nasib namun rembatan leretnya gagal menguji penjaga gol lawan, Mohd. Remezey Che Ros apabila turut tersasar di kiri gawang.
Ketika rancak menyerang, Helmi yang juga ketua pasukan PKNS mengejutkan tuan rumah melalui situasi sepakan percuma pada minit ke-13.
Sepakan percuma itu berpunca daripada tindakan Obinna Nwaneri yang melakukan terjahan keras ke atas penyerang PKNS FC, Patrich Ronaldinho.
Gol yang dicari pasukan Kelantan akhirnya muncul pada minit ke-18 melalui kapten mereka, Mohd. Badri yang melakukan tindakan susulan selepas rembatan Mohd. Haris terkena palang.
Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan gagal mencari sentuhan penyudah terbaik apabila serangan yang diatur gagal mendapat sentuhan penyudah.
Gol kemenangan Kelantan akhirnya menjelma pada minit ke 92 perlawanan apabila pemain pertahanan, Zairul Fitree berjaya menanduk masuk sepakan percuma Indra Putra ke kiri gawang gol.
No comments:
Post a Comment