Norshahrul Idlan Tahala adalah individu paling 'bahaya' yang mampu meranapkan impian Kelantan meraih mata penuh dalam dalam aksi Liga Super menentang Johor Darul Takzim FC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Tanpa berselindung, ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Razhi berkata, bekas rakan sepasukannya itu mempunyai kelebihan luar biasa terutama dalam kotak penalti sekiranya diberikan ruang dalam perlawanan itu.
"Keupayaan Norshahrul (Mat Yo) selaku penyerang berbisa memang diakui, dengan kemahiran individu yang dimilikinya, dia mampu mendatangkan bahaya buat pasukan.
"Begitu juga dengan rakan sepasukannya Daniel Guiza. Antara Guiza dan Mat Yo, secara peribadi saya memilih Mat Yo.
Dia (Mat Yo) pernah beraksi bersama Kelantan musim lalu dan mungkin mengetahui kekuatan dan kelemahan pasukan.
"Jadi untuk itu, saya berharap dapat menutup ruang secepat mungkin dan tidak memberikan peluang kepada kedua-dua pemain ini untuk mendapatkan bola seterusnya menjaringkan gol," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Badhri memberitahu, kekalahan mengejut keatas T-Team tempoh hari tidak meruntuhkan moral dia dan rakan-rakan menjelang pertemuan getir ini.
Katanya, dia dan rakan-rakan tidak akan memberikan laluan mudah kepada pasukan yang terkenal dengan jolokan Harimau Selatan itu.
"Kita telah bersedia untuk pertemuan ini. Kelebihan beraksi di tempat sendiri akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan tiga mata berpihak kepada Kelantan.
"Kita tidak boleh terus keciciran mata selepas ini, kerana ia akan merencatkan peluang Kelantan untuk terus memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super kerana saingan musim ini cukup sengit," ujarnya.
Selepas beraksi dalam dua perlawanan, Mohd. Badhri menjaringkan satu gol membantu pasukan meraih kemenangan sulung bertemu PKNS di Kota Bharu, 9 Januari lalu.
No comments:
Post a Comment