Nuffnang Ads

Monday, January 14, 2013

Darul Takzim hanya bawa 'pejuang' ke KB


Bersediakah penyerang Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha berdepan dengan bekas pasukannya The Red Warriors pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu,esok.

Mampukah penyerang sensasi itu menghadapi tekanan dan cemuhan yang pastinya menanti beliau ketika berkunjung menentang Kelantan sekali gus membawa pasukan barunya yang dibarisi ramai pemain berstatus bintang mencapai kemenangan.

Kecergasan Norshahrul atau Mat Yo itu juga difahamkan berada pada tahap terbaik, jadi tiada sebab untuk Norshahrul yang dipalit kontroversi perpindahannya menyertai skuad Harimau Selatan tidak diturunkan pada perlawanan itu nanti.

Tinjauan di padang Seri Gelam, venue latihan Johor Darul Takzim semalam mendapati sesi tersebut berjalan lancar dan Mat Yo kelihatan ceria menjalani latihan.

Namun, usaha untuk menemuramah Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 itu juga gagal kerana difahamkan mereka tidak dibenarkan untuk mengeluarkan sebarang ulasan.

Dalam pada itu, ketua jurulatih, Fandi Ahmad menyifatkan perlawanan menentang Kelantan pasti sukar memandangkan reputasi pasukan tersebut selaku penyandang juara musim lalu selain terkenal dengan corak permainan pantas.

Untuk itu, beliau mahu pemain memberikan fokus sepenuhnya dan perlu 'panas' dengan cepat sekali gus memastikan tidak memberi ruang kepada pasukan lawan.

"Kita hanya boleh membawa fighters (pejuang) ke Kelantan, semua pemain perlu berdisiplin, bersedia dengan mental dan fizikal yang kuat serta agresif jika benar-benar mahu mengalahkan Kelantan.

"Kita perlu menyekat kemaraan Kelantan di awal permainan, jika tidak kita bakal berdepan masalah besar," katanya.

No comments:

Post a Comment