Tiada langkah tambahan yang akan diambil oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dalam memastikan tahap keselamatan di Stadium Sultan Muhammad IV ketika pertembungan musuh tradisi The Red Warriors menentang Negeri Sembilan malam ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Tiket dan Kawalan Pintu KAFA, Datuk Ismail Md. Noor berkata, pihaknya berpendapat prosedur keselamatan yang biasa diamalkan dalam setiap perlawanan Liga Super sebelum ini sudah memadai untuk memastikan keadaan terkawal.
Beliau bagaimanapun menjelaskan pada setiap perlawanan lebih 200 anggota keselamatan ditempatkan di stadium tersebut tidak termasuk anggota Rela dan 90 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
"Mengenai tahap keselamatan kita akan mengikut prosedur biasa dan ia sudah memadai, tidak timbul sebarang isu mengenai itu, malah pada tahun 2012, kita mempunyai rekod yang cukup bersih.
"Penyokong kita lebih berdisiplin berbanding dulu-dulu, kita cukup yakin tidak akan timbul masalah. Cuma kita berharap jangan ada provokasi daripada pihak-pihak tertentu,".
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tahap keselamatan di Stadium Muhammad IV yang dipertikaikan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).
Kebimbangan tersebut semakin meningkat apabila juara treble itu akan berhadapan dengan musuh tradisinya, Negeri Sembilan yang menyaksikan rusuhan penonton pada tahun 2009.
Pada perlawanan menentang Johor Darul Takzim FC baru-baru ini, isu mengenai tahap keselamatan itu menjadi hangat apabila skuad Harimau Selatan itu turut membawa komando yang lengkap bersenjata sehingga mengundang rasa resah para penyokong.
Malah, kehadiran komando terbabit dipersoalkan banyak pihak.
Ismail berkata, kelab penyokong memainkan peranan yang amat baik dalam memastikan tahap keselamatan dan disiplin penonton terjamin.
"Saya merayu kepada penonton supaya terus tingkatkan disiplin jangan membawa barang larangan, letupan, senjata berbahaya, bendera politik dan sepanduk yang mencetuskan perkara yang tidak disenangi pihak lain, kena hormat ini hanya sukan," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai misteri empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyoal siasat pengadil ketika separuh masa dalam perlawanan di antara The Red Warriors menentang Harimau Selatan, beliau berkata, pihaknya masih menyiasat kejadian tersebut dan masih belum dapat mengesahkan sama ada ia pegawai daripada SPRM atau ada pihak yang menyamar.
"Cuma berdasarkan maklumat yang saya terima, individu yang menyoal siasat pengadil terbabit telah menunjukkan kad kuasa SPRM kepada anggota Rela yang bertugas mengawal bilik terbabit.
"Apa pun untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang lagi, kita akan meningkatkan kawalan di setiap bilik yang membabitkan pemain, pengadil dan pegawai perlawanan, semua bilik tidak boleh dimasuki tanpa kebenaran pegawai perlawanan," katanya.
No comments:
Post a Comment