Nuffnang Ads

Wednesday, May 16, 2012

FAM beri Annuar Musa amaran keras


Annuar-Musa

Annuar Musa
KELANA JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini memberi amaran keras kepada Timbalan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa, yang digantung dua setengah tahun, agar tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti bola sepak.
 
Amaran ini dibuat apabila tindakan Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), telah melanggar kod etika jawatankuasa tatatetib dengan menghadiri satu majlis perasmian penjualan tiket final Piala FA dan pelancaran CD Dikir Warriors di kafe The Red Warriors, Pusat dagangan Kelantan (KTC), Kota Bharu, kelmarin.
 
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak berkata, beliau tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan yang lebih tegas sekiranya Annuar terus bergiat aktif dalam kancah bola sepak nanti.
 
"Perkara ini diputuskan selepas pihak kami menerima banyak rungutan dan pandangan daripada pihak luar berkaitan penglibatan Annuar dalam aktiviti bola sepak.
 
"Jadi selepas mesyuarat sebentar tadi, kami akan maklumkan perkara ini kepada Annuar agar mematuhi hukuman seperti yang termaktub dalam Perkara 6.11.15 kod etika tatatertib di mana beliau tidak dibenarkan sama sekali terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak," kata Taufik.

Taufik berkata, Annuar sepatutnya mengikuti hukuman yang telah diputuskan oleh pihak FAM dengan mengurangkan segala aktiviti berkaitan bola sepak.

"Perkara ini senang sahaja, beliau harus ikut apa yang telah diputuskan, bukannya melanggar kerana dengan tindakan macam ini ia akan memburukkan lagi keadaan," kata beliau sambil menambah, "seharusnya persatuan bola sepak negeri perlu memainkan peranan penting dalam isu ini. bukannya mengambil mudah."

"Jadi, mereka harus memandang serius dan peka agar perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi," katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada persatuan bola sepak negeri akan menerima hukuman ekoran tidak memandang serius mengenai isu ini, beliau berkata, pihak FAM hanya akan memberikan peringatan agar selepas ini mereka lebih peka dan menuruti segala hukuman yang telah diputuskan.

Awal bulan lalu, Annuar digantung dua setengah tahun apabila melanggar Statut FAM dengan membuat kenyataan akhbar, di mana hanya Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM saja boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan.

Selain itu, Annuar juga dituduh melanggar titah Timbalan Presiden FAM ketika mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu iaitu hal-hal FAM tidak wajar disebar kepada media dan sepatutnya dibawa berbincang dengan jawatankuasa tersebut.


Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment