Nuffnang Ads

Saturday, May 19, 2012

Medan menebus kekecewaan : Mat Yo



NORSHAHRUL tidak rela berputih mata pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.


PERLAWANAN akhir Piala FA kali ini menjadi medan terbaik buat Kelantan menebus kekecewaan selepas tewas dalam dua aksi final sebelum ini iaitu pada musim 2009 dan 2011.
Penggempur sensasi The Red Warriors, Norshahrul Idlan Talaha berkata, kekalahan kepada Terengganu musim lepas masih terbayang terutama ketika permainan sudah memasuki minit ke-90 dan Kelantan masih mendahului tetapi terpaksa akur dengan kehebatan jiran mereka itu.
Menurutnya, pertembungan antara Kelantan dan Sime Darby kali ini dianggap seimbang biarpun pasukan lawan itu hanya berstatus kelab namun keupayaan menumbangkan beberapa pasukan pilihan dianggap sesuatu yang tidak boleh dipandang mudah.
"Mereka (Sime Darby) menewaskan Johor FC dan Terengganu, ia pencapaian yang cukup baik dan saya fikir mereka mampu mengancam kita jika kita tidak bersedia sepenuhnya.
"Bagi saya, pasukan yang mampu memberikan komitmen 100 peratus sepanjang perlawanan akan menang perlawanan tersebut. Peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang tetapi saya optimis Kelantan mampu memenangi perlawanan kali ini," katanya semalam.
Bagaimanapun tambahnya, tekanan sudah tentu akan dirasai olehnya dan rakan sepasukan lain kerana sudah pasti ramai yang memilih Kelantan akan memenangi perlawanan ini.
Katanya, disiplin dan kekuatan mental sepanjang 90 minit permainan akan menjadi kunci kejayaan ketika kedua-dua pasukan tidak pernah bertemu dan tidak mempunyai maklumat yang jelas mengenai kekuatan masing-masing.
"Saya tidak melihat ia sebagai sesuatu yang mudah kerana kita tidak pernah bertemu dengan Sime Darby. Jadi, kita tidak tahu kekuatan, cara mereka bermain. Saya anggap mereka berbahaya.
"Saya fikir selain Patrick Ronaldinho, Razali Umar Kandasamya akan memberi masalah kepada kita dan mampu menyaingi barisan pertahanan tapi saya percaya kami semua sudah bersedia," ujarnya.

Sumber : Kosmo

No comments:

Post a Comment