Nuffnang Ads

Wednesday, May 16, 2012

'Terserah pada Annuar'


SUBANG JAYA - 'Ini negara bebas, beliau boleh membawa perkara ini ke mana sahaja', Itu ulasan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah (gambar) berhubung gesaan Tan Sri Annuar Musa supaya badan induk bola sepak negara menubuhkan sebuah tribunal timbang tara.
Kelmarin, Annuar meminta FAM menubuhkan Tribunal Timbang Tara bagi membincangkan semula hukuman penggantungan dua tahun enam bulan yang dikenakan terhadapnya.
"Ini negara bebas, beliau boleh bawa ke mana sahaja yang beliau inginkan. Saya tidak mahu memberi komen lebih lanjut. Beliau telah dihukum mengikut perlembagaan FAM," kata baginda selepas menyampaikan sumbangan peribadi RM100,000 kepada Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia. FAM turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM30,000.
Sementara itu mengulas isu yang sama, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menjelaskan, sebelum mahu mewujudkan Tribunal Timbang Tara, Annuar perlu terlebih dahulu melihat sistem yang sedia wujud di dalam FAM.
"Segala-galanya terletak di atas budi bicara exco sama ada hendak membuang peraturan dan sistem yang sedia ada ketika ini. Walau apa pun kita tidak boleh lari daripada peraturan dan panduan yang telah digariskan.
"Saya juga tidak mahu komen banyak atas apa yang Tuanku titah, ia terpulang kepada orang berkenaan untuk mengambil apa-apa tindakan tetapi FAM sentiasa berpandukan garis dan panduan yang sedia ada," katanya.
Kata Azzuddin, walaupun 15 exco FAM termasuk presiden sedia menimbang untuk mewujudkan Tribunal Timbang Tara, namun ia juga perlu melihat peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
"Seandainya exco menolak penubuhan Tribunal Timbang Tara, Annuar tidak mempunyai laluan untuk membawa perkara tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). Namun saya bukanlah pihak yang membuat keputusan.
"Apa-apa arahan dan keputusan daripada exco untuk merujuk kepada FIFA dan sebagainya, sebagai Setiausaha Agung saya akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya. Saya tidak berada pada berkedudukan untuk membuat keputusan dan memberi nasihat," katanya.
Ditanya mengenai tindakan Annuar yang masih menghadiri majlis rasmi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) walaupun digantung Azzudin berkata, FAM tidak mahu membuat tindakan tergesa-gesa dan telah menulis kepada FIFA untuk mendapat nasihat.
"Jika masih ada ruang dan keraguan FAM tidak boleh melakukan interpretasi sendiri, kita perlu merujuk kepada FIFA.
"Intepretasi terpulang kepada masing-masing, setengah orang menilai dengan jelas, kalau ada keraguan kita akan merujuk FIFA," katanya.

Sumber ; Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment