PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia untuk "tengok" rayuan membabitkan pemain Kelantan, Norfarhan Mohamad, yang menerima kad kuning dalam perlawanan separuh akhir kedua menentang Selangor, Jumaat lalu.
“Kita bolehlah tengok, tapi biasanya rayuan hanya boleh dibuat ketika perlawanan berlangsung di peringkat kumpulan.
"Untuk peringkat final rasanya sudah terlambat,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad pada sidang media di Shah Alam, hari ini.
Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim yang turut hadir pada sidang media hari ini berharap FAM dapat memberi pertimbangan mengenai layangan kad kuning ke atas Norfarhan.
Kad kuning menyebabkan pemain tersebut tidak dapat beraksi di pentas akhir Sabtu ini.
"Saya telah menghantar surat rayuan beserta video perlawanan kepada FAM untuk dipertimbangkan.
"Jadi, saya mengharapkan pertimbangan sewajarnya diberikan oleh FAM," katanya.
Azman turut menjelaskan rayuan layangan kad kuning yang dibuat bukanlah bertujuan mempertikaikan kewibawaan pengadil tetapi mungkin ada kalanya pengadil terlepas pandang.
“Saya bukan mahu pertikaikan cara pengadil, tetapi ada kalanya mungkin mereka silap.
"Lagipun, di negara lain masih ada ruang pemain mengemukakan rayuan jika dilayangkan kad dan kita harapkan situasi seperti itu boleh membantu Norfarhan.
"Apa pun, kita tetap menyerahkan kepada FAM untuk membuat keputusan,” katanya.
No comments:
Post a Comment