Nuffnang Ads

Thursday, October 18, 2012

Jurulatih sukar ramal juara Piala Malaysia 2012



Azman Ibrahim - B Sathianathan

Azman Ibrahim berbincang bersama B Sathianathan (kanan) sebelum mesyuarat jawatankuasa pertandingan pengelola perlawanan akhir Piala Malaysia.
TINGGAL dua hari lagi menjelang final Piala Malaysia 2012, dan kini bahang kehangatan semakin dirasai apabila peminat bola sepak mahupun jurulatih mula melontarkan pendapat masing-masing mengenai pilihan juara edisi kali ini.
Mungkin sukar untuk meramalkan siapa yang paling layak antara Kelantan mahu pun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk merangkul juara edisi kali ini.
Bagaimanapun kesungguhan dan kemampuan kedua-dua pasukan tahun ini lebih menarik dengan masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri, namun silap sedikit percaturan boleh membawa padah.
ATM memang terkenal dengan corak permainan pantas sementara Kelantan dengan kombinasi pemain muda dan pemain berpengalaman sudah pasti mempergunakan kelebihan masing-masing untuk memenangi Piala Malaysia 2012.
Begitu pun, Kelantan yang mempunyai pengalaman beraksi pada perlawanan akhir serta mempunyai azam untuk merealisasikan misi treble musim ini dilihat berkebolehan untuk menjuarainya.
Namun, ramai jurulatih beranggapan kedua-dua pasukan itu mempunyai peluang seimbang di mana pemenang ditentukan dengan kelebihan satu gol berdasarkan rekod cemerlang semasa saingan awal piala tersebut.
Jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan berkata,  kedua-dua pasukan itu memiliki corak taktikal yang berlainan, tetapi kelebihan hanya akan berpihak kepada barisan pemain yang mampu mengekang serangan dan asakan.



"Secara jujur sukar nak diramal pasukan mana yang akan bergelar juara kerana kedua-dua pasukan itu mempamerkan aksi yang seimbang dalam saingan awal Piala Malaysia ini.
"Namun, berdasarkan ramalan saya, Kelantan akan memenangi Piala Malaysia musim ini,  gol 2-1," katanya ketika dihubungi  Sinar Harian Online, hari ini.
Tambah Wan Jamak: "Kelantan kini berada dalam landasan yang tepat. Malah selaku juara Piala FA tahun ini, pastinya peminat berharap skuad The Red Warriors mempamerkan aksi yang lebih bertenaga untuk membawa pulang piala ketiga buat negeri Cik Sit Wan Kembang."
"Malah mereka mempunyai  barisan pemain serangan yang kuat," katanya lagi.
Bagaimanapun, Wan Jamak berkata keupayaan skuad ATM tidak boleh dipertikaikan memandangkan mereka turun gelanggang dengan status sebagai juara Liga Perdana.
Katanya,  jurulatih ATM, B. Sathianathan pastinya akan meletakkan sandaran ke atas pemain berpengalaman, antaranya pemain kebangsaan, Hairuddin Omar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha.
Sementara itu, jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor pula menjangkakan ATM akan membuat kejutan kerana skuad itu mempunyai potensi serta memiliki pemain yang versatil seperti  Hairuddin, Aidil Zafuan dan Marlon Alex James bagi mengucar-kacirkan barisan lawan.
"Jujurnya saya lihat ATM mempunyai komitmen untuk menjadi juara kerana mereka mempunyai beberapa pemain berpengalaman tambahan Marlon pula mempunyai corak permainan yang laju.
“Formasi corak skuad The Army  yang biasanya membuat hantaran pendek dan tidak hanya sekadar mementingkan pertahanan dan sesi serangan balas yang laju pastinya akan menjadi faktor buat pasukan itu beroleh kejayaan.
"Oleh kerana Kelantan juga merupakan lawan hebat, saya hanya sasarkan ATM mungkin menang dengan defisit satu gol sama ada 2-1 atau 1-0," katanya.
Seorang lagi jurulatih Johor FC, Sazali Saidun pun menjangkakan Kelantan mempunyai peluang cerah untuk menjuarai Piala Malaysia musim ini.
“Jika dilihat dari segi pasukan, saya rasa Kelantan lebih layak untuk merangkul kejuaraan itu. Kelantan sebuah pasukan yang kuat,” kata Sazali.
Dalam pada itu, ketika ditanya Kelantan akan berdepan masalah besar setelah kehilangan dua penyerang sensasinya, Mohamad Ghaddar dan Mohd Nor Farhan Muhammad,  Saidun berkata, memang terdapat sedikit kepincangan dalam pasukan itu.
Bagaimanapun, harus dilihat pasukan Kelantan bukan hanya bergantung kepada dua pemain itu sahaja.
“Tidak dinafikan kehilangan dua tonggak utama akan memberi masalah kepada Kelantan, namun saya rasa Kelantan masih lagi berpeluang untuk menjuarainya,” kata beliau lagi.
Jelas Sazali lagi, ATM bagaimanapun tidak harus dipandang ringan kerana pasukan itu mungkin mampu membuat kejutan.
"Jujurnya saya lihat ATM tidak jauh beza dengan Kelantan. Sekiranya mereka beraksi cemerlang tidak mustahil mampu menyekat Kelantan.
“Tapi harus diingat, ATM hanya bergantung kepada Marlon, dan sekiranya pertahanan Kelantan berjaya mengawal Marlon, ATM akan berdepan padah,” kata Sazali yang menjangkakan Kelantan memenangi dengan defisit gol 2-1.
Jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria turut mengakui saingan sengit akan berlaku dalam pertembungan dua pasukan itu kerana masing-masing pastinya mengidam-idamkan piala tersebut.
"Kelantan pastinya mahu menamatkan penantian di mana kali terakhir mereka merangkul piala itu pada 2010.
"Ia juga pastinya mahu memburu piala yang ketiga  buat tahun ini selepas memenangi Piala FA dan juga Liga Super.
“Manakala ATM pula pastinya memburu kejuaraan buat kali pertama sekali gus membuktikan pasukan ‘underdog’ juga mampu mencipta kejayaan,” kata Ismail yang menganggap peluang antara Kelantan dengan ATM 50-50.
Pandangan Ismail turut dipersetujui oleh jurulatih Pahang, Dollah Salleh apabila beliau menyifatkan agak sukar untuk membuat pilihan kerana kedua-dua pasukan dilihat sama hebat dan kuat.
“Susah untuk membuat pilihan, perlawanan ini sangat sengit dan mungkin keputusan akan ditentukan dengan sepakan penalti.
“Tapi, berdasarkan kepada pasukan, kelebihan memihak kepada Kelantan meskipun kehilangan dua tonggak utama, apa-apa pun, pertemuan yang dijangka sengit,” kata Dollah.
Bagi jurulatih T-Team pula, Yunus Aliif beranggapan ATM mampu untuk menewaskan Kelantan di pentas final nanti.
Jelasnya, ketiadaan Ghaddar dan Farhan dalam skuad Kelantan akan mengubah corak permainan skuad bimbingan Bojan Hodak  sekali gus memberi peluang kepada ATM untuk mengatasi mereka.
"Saya yakin ATM akan membuat kejutan menewaskan juara Piala FA dan Liga Super 2-1, semua itu tidak mustahil,” kata Yunus.
Jurulatih Selangor, irfan Bakti pula yakin ATM akan menjadi juara.
"Saya yakin dengan semangat juang yang ada pada ATM ketika menentang Lions XII tempoh hari.
"Dengan kegigihan, semangat dan kebolehan yang begitu tinggi seperti semangat perwira untuk berjuang.
"Lagipun ketiadaan Ghaddar dan Nor Farhan akan melemahkan serangan barisan Kelantan, jadi ATM mampu untuk menang dalam masa 90 minit perlawanan," katanya.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment