Nuffnang Ads

Thursday, October 18, 2012

Juara Piala Malaysia 2012: Majoriti 2/3 Ahli Parlimen pilih Kelantan



Piala Malaysia

Piala Malaysia
Demam bola sepak Piala Malaysia 2012 kian hangat diperkatakan oleh seluruh peminat sukan tanah air, malah bahangnya turut dirasai ahli-ahli Parlimen.

Para pemimpin bukan sahaja lantang bersidang, malah masih membicarakan perlawanan akhir yang dinanti-nantikan antara pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Kelantan, Sabtu ini.

Biarpun sibuk membincangkan dasar negara dan kebajikan rakyat, namun fenomena bola sepak tidak terlepas di bibir-bibir wakil rakyat sebagai topik utama ketika menikmati juadah tengah hari dan minum petang sebaik sahaja sidang berhenti rehat.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek teruja apabila diminta mengulas bahang Piala Malaysia musim ini.

"Kedua-dua pasukan ini pernah bertemu dan kehebatan mereka sama, namun kelebihan berpihak pada Kelantan kerana pernah beraksi dalam perlawanan akhir.

"Pengurusan ATM menggunakan konsep baru dengan menggunakan pendekatan yang berbeza dan harus dicontohi oleh pasukan lain.

"Perlawanan ini adalah satu perlawanan yang hebat dan saya harapkan tiada perkara yang boleh merosakkan keindahan malam itu," katanya ketika ditemui di lobi bangunan Parlimen semalam.

Bagi Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, bukan imbuhan yang menjadi ukuran untuk satu pasukan itu menjadi juara, tetapi semangat kesukanan yang tinggi harus dijiwai setiap pemain.

“Setiap pemain harus mempunyai semangat kesukanan yang tinggi dan bermain secara profesional bukan kerana imbuhan semata-mata.

"Sebagai anak Kelantan, semestinya saya menyokong Kelantan," katanya yang juga Presiden Perkasa.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yakin kemenangan bakal berpihak kepada Kelantan.
"Corak permainan Kelantan yang cantik dan berada di tahap yang tinggi, ditambah pula dengan keupayaan kepimpinan memudahkan laluan Kelantan untuk menjadi juara.

"Tapi bagi saya, perlawanan akhir tidak begitu menarik kerana bukan perlawanan antara kedua-dua pasukan gergasi," kata beliau.

Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam pula memilih Kelantan sebagai pasukan kegemarannya untuk menjulang Piala Malaysia musim ini.

"Pasukan kegemaran saya adalah Selangor dan Kelantan, tapi saya yakin Kelantan akan menang 3-0.
"Dengan adanya barisan pemain, penjaga gol, penyerang yang berpengalaman luas memberi Kelantan satu peluang yang cerah," ujarnya.
Berbeza pula pandangan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.
Walaupun masih setia dengan pasukan negeri kelahirannya Pahang, beliau memilih pasukan ATM akan menjadi juara musim ini.

"Saya mahu ATM juara... tapi kedua-dua pasukan sama hebat dan saya rasa kemenangan ATM dengan jaringan penalti.

"Saya lihat semangat kenegeriaan sangat tebal kerana setiap pasukan mewakili negeri masing-masing dan saya masih berpihak dengan pasukan negeri saya, Pahang," katanya yang juga Naib Presiden PKR.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub pula berbangga dengan prestasi terkini Kelantan.

"Anjakan besar Kelantan dalam fenomena bola sepak begitu membanggakan dan saya pasti Kelantan menjadi juara dengan jaringan gol 2-0.

"Kelantan harus menang musim ini, namun ATM mempunyai peluang untuk mengangkat imej baiknya dengan pemain yang hebat," kata Naib Presiden Pas ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar turut mengharapkan kemenangan di pihak Kelantan.

"Saya rasa Kelantan boleh menang walaupun kedua-dua pasukan ini hebat.

"Namun ATM akan lebih bersemangat untuk mengalahkan The Red Warriors kerana ini merupakan julung kalinya ATM mara ke final," ulas beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang dan Timbalan Pengerusi Umno Selangor.

Kelantan menewaskan Selangor di separuh akhir.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong memilih Kelantan selaku juara Piala Malaysia kerana negeri kelahirannya.

"Saya anak Kelantan, semestinya saya menyokong Kelantan negeri kelahiran saya. Orang Kelantan mesti menyokong pasukan Kelantan," katanya penuh semangat.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan pula yakin ATM akan menjadi juara.

"Saya yakin dengan semangat juang yang ada pada ATM ketika menentang Lions XII tempoh hari.

"Dengan kegigihan, semangat dan kebolehan yang begitu tinggi seperti semangat perwira untuk berjuang.

"ATM pernah melangkah ke final 46 tahun dulu itupun H.M.S Malaya, sekarang Piala Malaysia ini satu penantian yang begitu dinantikan," katanya.



Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan memuji semangat kedua-dua pasukan yang akan bertarung di final Sabtu ini di Stadium Shah Alam.

"Bagi saya pasukan yang terbaik layak menjadi juara tidak memilih sama ada ATM atau Kelantan.

"Tapi saya memuji semangat dan disiplin pasukan ATM dalam saingan separuh akhir menentang Lions XII," jelas beliau.


Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pula tidak meletakkan kejuaraan Piala Malaysia di mana-mana pasukan.

"Saya agak kecewa setelah Selangor kalah kepada Kelantan.

"Namun saya berbangga dengan peningkatan mutu bola sepak di negara dan saya teruja dengan perjuangan ATM menentang Lions XII," ujar beliau yang juga Naib Presiden PKR.

Selain itu, Nurul Izzah mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama menonton perlawanan akhir Piala Malaysia kali ini.


No comments:

Post a Comment