BIARPUN cemerlang membawa Kelantan menjulang tiga trofi kejuaraan musim ini, namun masa depan pengendalinya Bojan Hodak masih jadi tanda tanya.
Di bawah bimbingan Bojan, The Red Warriors muncul pasukan paling berbahaya sepanjang kempen Liga Malaysia. Ini terbukti dengan kejayaan mereka merangkul Piala FA, Liga Super dan terkini Piala Malaysia 2012.
Bojan turut membawa skuad Kijang melangkah ke suku akhir saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Namun, sama ada khidmat beliau bersama pasukan itu diteruskan atau tidak bagi musim depan, masih belum diputuskan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).
“Saya tidak tahu, kita tunggu dan lihat apa juga keputusan Kafa kerana perkara ini masih dalam perbincangan pihak pengurusan,” katanya selepas perlawanan final Piala Malaysia, kelmarin.
Bagaimanapun, sekiranya Bojan terus diberi kepercayaan membimbing gergasi Pantai Timur itu musim depan, sudah pasti banyak perancangan yang mahu dilakukan jurulatih dari Croatia itu.
“Akan ada beberapa perubahan tetapi ia tidaklah secara besar-besaran kerana perubahan ketara hanya mendatangkan banyak masalah lain kepada pasukan.
“Kita mempunyai ramai pemain terbaik dan sebahagiannya mengikat kontrak sehingga dua tahun dan hanya beberapa pemain yang akan tamat kontrak bersama Kelantan.
“Mungkin kita akan ambil satu atau dua orang pemain baru,” katanya setakat ini tiada pemain Kelantan meninggalkan pasukan itu.
Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan akhir menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bojan akui beliau tidak pernah berpuas hati dengan setiap taktikal digunakan setiap kali beraksi.
“Namun saya sentiasa yakin dengan kemampuan pemain dan hasilnya, kami menang Piala Malaysia,” katanya.
No comments:
Post a Comment