Nuffnang Ads

Wednesday, October 17, 2012

Kawalan ketat di Shah Alam : FAM


Setiap kelakuan dan tindakan penyokong pada final Piala Malaysia antara Kelantan dan Tentera di Stadium Shah Alam, Sabtu ini akan diperhatikan. 

Itu adalah peringatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bertindak memasang kamera di setiap sudut stadium berkenaan sebagai langkah awal untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. 





Pengerusi Jawankuasasa Keselamatan FAM, Datuk Salleh Md Rashid, berkata semua kamera tersembunyi itu akan dipasang di dalam dan luar stadium bagi mengawal penyokong daripada bertindak negatif dan membawa bahan yang dilarang seperti mercun dan vuvuzela. 




“Musim ini kawalan final Piala Malaysia lebih ketat berbanding tahun sebelum ini. Selain itu kami juga menyediakan 1,000 anggota keselamatan. 



“Keputusan ini sebagai langkah untuk mengesan dan mengenal pasti sebarang tindakan penyokong yang melanggar arahan, selain membawa barang terlarang seperti mercun, vuvuzela dan kain rentang berbaur hasutan,” katanya pada sidang media Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam. 

Sementara itu, pengerusi pengelola perlawanan akhir, Datuk Hamidin Mohd Amin memperuntukkan 30,000 keping tiket kepada setiap pasukan Tentera dan Kelantan. 



“Jika kedua-dua pasukan mampu menghabiskan jualan tiket itu, kami akan jual baki 20,000 keping lagi di Stadium Shah Alam pada jam 9 pagi hingga 7 petang, bermula Khamis ini,” kata Hamidin. 



Untuk memastikan memudahkan penyokong masuk ke stadium, Hamidin menetapkan Pintu A bagi penyokong Tentera manakala Pintu C, bagi penyokong Kelantan.

No comments:

Post a Comment