TIMBALAN Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Nasir Hamzah berkata, kejayaan Kelantan memenangi tiga gelaran utama dalam satu musim adalah satu pencapaian "luar biasa."
Tahun ini, The Red Warrriors melengkapkan misi treble setelah merangkul Piala Malaysia 2012 dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Pasukan kendalian Bojan Hodak itu sebelum ini meraih kemenangan dalam Liga Super dan Piala FA.
Jelasnya, pujian harus diberikan kepada semua pemain dan juga pihak pengurusan kerana bertungkus lumus mencipta sejarah dalam dunia bola sepak.
"Alhamdulillah... kemenangan ini menjadi kebanggaan rakyat Kelantan. Saya mengucapkan tahniah kepada pemain dan juga pihak pengurusan kerana berjaya mencipta sejarah.
"Kejayaan ini adalah hasil titik peluh semua, perjuangan mereka selama ini membuahkan hasil, sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan syabas, saya betul-betul gembira dan berbangga," kata Nasir ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Pada masa sama, beliau yang juga Penolong Bendahari Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenyataan jurulatih ATM, B.Sathianathan dengan menyifatkan pasukannya lebih hebat berbanding Kelantan.
Ujarnya, kemenangan sesebuah pasukan bukan hanya bergantung pada stamina, tetapi jaringan gol yang menentukan juara.
"Saya tidak bersetuju apabila Sathianathan berkata pasukan Kelantan tiada stamina. Mereka lebih hebat.
"Tidak dinafikan dalam permainan, stamina itu amat penting, tapi dengan adanya stamina ia tidak menjamin kemenangan.
"Kalau ada stamina, tapi tidak sumbat gol tiada gunanya juga, jadi apa yang penting adalah menjaringkan gol, siapa yang sumbat gol, pasukan itu akan menang," jelas beliau.
Selain itu, selaku penaja The Red Warriors, Nasir menjelaskan bahawa Sinar Harian akan terus merangka pelbagai program lebih menarik bagi memberi sokongan kepada kemajuan bola sepak Kelantan khususnya.
"Insya-ALLAH, kita akan buat lebih baik lagi, program-program yang lebih baik pada musim akan datang.
"Ini kerana, kami ingin menjadikan Kelantan sebuah pasukan yang hebat di mata dunia," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment