Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.
Pepatah ini amat sesuai ditujukan kepada pemain yang dipinjam Kelantan, Mohd. Afiq Azmi yang berpeluang beraksi di pentas perlawanan Piala Malaysia buat kali pertama sejak bergelar pemain bola sepak profesional dua tahun lalu.
Mohd. Afiq, 23, mengakui dia bersedia untuk diturunkan pada perlawanan akhir, Sabtu ini, malah menganggapnya sebagai satu penghormatan buat dirinya.
"Saya akan memberikan sepenuh komitmen dalam perlawanan tersebut sekiranya diberikan peluang untuk beraksi. Ini peluang terbaik buat saya untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih.
"Walaupun pentas perlawanan akhir adalah pengalaman pertama, namun telah membuat persiapan dari segi fizikal dan mental untuk mengharungi perlawanan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Meskipun hanya beraksi selaku pemain pinjaman dalam saingan Piala Malaysia musim ini, nama Mohd. Afiq mula menjadi sebutan di kalangan peminat setia The Red Warriors.
Pemain dari Kuala Lumpur itu telah mempamerkan aksi memberangsangkan apabila menjaringkan empat gol sepanjang kempen Piala Malaysia musim ini.
Ketiadaan dua tonggak utama The Red Warriors iaitu Mohammad Ghaddar dan Norfarhan Mohammad membuka ruang kepada pemain tersebut untuk berada dalam senarai ketua jurulatih, Bojan Hodak di pentas akhir buat pertama kali.
Namun, semuanya bergantung kepada prestasi yang pemain itu dalam latihan pasukan.
Anak kelahiran Kampung Seriab, Perlis itu turut menanam cita-cita meledakkan jaringan pada penampilan pertama di perlawanan akhir itu.
Kata Mohd. Afiq, dia mahu menghadiahkan gol tersebut kepada penyokong The Red Warriors yang banyak memberikan sokongan kepadanya setiap kali turun beraksi.
"Saya teruja kerana menjadi sebahagian dari The Red Warriors dan peluang ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membantu pasukan selain mencipta sejarah buat diri sendiri," ujarnya.
No comments:
Post a Comment