Nuffnang Ads

Wednesday, October 17, 2012

The Red Warriors ada kelebihan


Hairuddin Omar (kanan) bersama Rezal Zambery Yahya menjalani latihan bersama skuad ATM di padang Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang, semalam.

Juara Liga Super dan Piala FA, Kelantan memiliki segenap kelebihan berbanding Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menjulang Piala Malaysia sekali gus merealisasikan misi treble yang diidam-idamkan oleh seluruh penyokong The Red Warriors.

Memiliki kombinasi yang padu di bahagian pertahanan di samping tidak bergantung kepada seorang pemain untuk menjaringkan gol, menjadi faktor mengapa Kelantan dianggap selaku pilihan menewaskan ATM di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Bukan tidak menghormati kekuatan yang ada pada ATM, bekas pemain kebangsaan yang juga penganalisis bola sepak negara, Azlan Johar, berpandangan Kelantan mempunyai lebih banyak variasi dalam merencanakan serangan di samping anak-anak buah Bojan Hodak dilihat cukup serasi antara satu sama lain.

''Hantaran bola pendek yang diamalkan oleh Kelantan begitu menarik dan mereka mengamalkan pelbagai teknik serangan dalam usaha menjaringkan gol, tidak terlalu bergantung kepada bahagian sayap seperti mana ATM.

''Malahan, corak hantaran jauh ATM boleh dibaca oleh lawan kerana mereka terlalu bergantung kepada Marlon dan itu bakal mengundang masalah jika dia dapat dikunci baik oleh pertahanan Kelantan.

''Ramai melihat Marlon Alex James sebagai sumber kekuatan ATM, itu satu aspek yang tidak boleh dinafikan namun dalam masa sama saya lihat perkara itu juga boleh menjadi kelemahan buat mereka," katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengikut pandangan Azlan, ketiadaan dua pemain utama Kelantan, Mohamed Ghaddar dan Norfarhan Muhammad yang digantung satu perlawanan kerana mengutip dua kad kuning tidak perlu dijadikan isu besar.

''Ketiadaan Ghaddar tidak memberikan sebarang kerugian kepada Kelantan kerana Bojan boleh meletakkan Indra Putra (Mahayuddin) bergandingan dengan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) sebagai penyerang.

''Sementara itu, ketiadaan Norfarhan (Muhammad) juga tidak memberikan masalah kerana Piya (Mohd. Badri Mohd Radzi) akan mengambil tempatnya dan dia mampu menjadi penentu kepada kemenangan Kelantan melalui sepakan percuma," katanya.

Selain itu, Azlan melihat persefahaman penjaga gol ATM, Farizal Harun dengan pertahanan yang diterajui Aidil Zafuan Adha belum berada di tahap terbaik seperti mana Khairul Fahmi Che Mat dengan Kelantan.

''Aksi pertahanan ATM masih tidak menyakinkan jika hendak dibandingkan dengan Kelantan, mereka masih belum serasi sepenuhnya dan kadang kala sering melepaskan jaringan-jaringan mudah kepada lawan kerana salah faham.

''Ini tidak ada pada Kelantan, antara penyebab mengapa Khairul Fahmi dapat beraksi dengan mantap adalah kerana dia sudah kenal dan 'masak' dengan cara permainan rakan sepasukannya di bahagian pertahanan," katanya.


Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment