"KEJAYAAN yang akan diingati sampai bila-bila." itulah kata-kata pengurus Kelantan, Azman Ibrahim selepas pasukan bimbingan Bojan Hodak berjaya meraih kejuaraan treble musim ini setelah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 3-2 dalam aksi final Piala Malaysia 2012 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Jelasnya, pencapaian yang dilakukan oleh semua pemain amat membanggakan seluruh rakyat Kelantan.
"Saya sangat bangga melihat komitmen yang ditunjukkan oleh semua pemain.
"Mereka berjuang berhabis-habisan meskipun keadaan padang sedikit lecak.
"Namun, pemain tetap berusaha untuk mencatat kemenangan dan akhirnya kami dinobatkan juara," kata Azman.
Dalam pada itu, Azman turut menyifatkan perlawanan menentang ATM adalah satu pertemuan penuh dramatik.
"Satu perlawanan yang hebat. Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga meskipun telah beraksi 120 minit perlawanan.
"Saya ucapkan terima kasih kepada pemain dan saya amat menghargai semangat dan usaha mereka," katanya yang gembira dengan semangat juang dijelmakan oleh barisan pemain Bojan sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai jaringan gol yang dijelmakan oleh Indra Putra untuk memberi kemenangan buat pasukan Kelantan, Azman bagaimanapun menyifatkan itu satu jaringan yang menakjubkan.
"Sangat menakjubkan. Indra beraksi dengan cemerlang. Jaringan gol Indra bukan sahaja hadiah buat kami, tetapi juga buat isterinya.
"Semalam adalah hari jadi isterinya, jadi ini bermakna buat Indra dan juga isterinya," jelasnya lagi.
Mengulas mengenai habuan yang akan diterima oleh anak buah Bojan selain tanah, Azman bagaimanapun menyerahkan urusan itu kepada mana-mana pihak sekiranya sudi memberikan imbuhan.
"Sekiranya mereka merasakan The Red Warriors patut diberi imbuhan, kami akan menerima dengan hati terbuka.
"Tapi, buat masa sekarang hanya tanah antara imbuhan untuk pemain, yang lain masih belum ada," jelas beliau lagi.
No comments:
Post a Comment