Nuffnang Ads

Thursday, March 22, 2012

Hajat Kelantan raih 3 mata tidak kesampaian


KELANTAN masih gagal meraih kemenangan pertama dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila tewas kepada juara Liga Kebangsaan Myanmar, Ayeyawady United, semalam.
Selepas sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan menentang wakil Vietnam, Navibank Saingon dalam penampilan pertama di pentas Asia, skuad kendalian jurulatih Bojan Hodak itu terus buntu untuk meraih tiga mata penuh apabila kecundang 1-3 dalam perlawanan yang berlangsung di Pusat Latihan Remaja, Yangon.


Nasib nyata tidak memihak Kelantan apabila tonggak pertahanan tengah, Obinna Nwaneri menampan bola ke gawang sendiri seawal minit keenam untuk membolehkan tuan rumah menambah tekanan kepada pelawat, juga juara Liga Super musim lalu.



Tuan rumah menggandakan asakan dan berjaya menghasilkan gol kedua pada minit ke-41 menerusi Aung Kyaw Myo yang merembat kencang dari dalam kotak penalti bagi menamatkan babak pertama dengan kelebihan dua gol memihak kepada skuad kendalian Jozef Herel itu.


Kelantan bagaimanapun merapatkan jurang menerusi rembatan pemain importnya dari Lubnan, Muhammmad Ghaddar pada minit ke-65 yang membuat susulan selepas sepakan penaltinya dihalang penjaga gol lawan. Namun ia belum cukup untuk menghalang kemenangan bergaya tuan rumah apabila penyerang import dari Nigeria, Jupiter Yves Ngangue meledak jaringan pada minit ke-80 bagi tiga mata penuh. Sementara itu dalam satu lagi aksi Kumpulan H, Navibank Saingon menewaskan kelab Indonesia, Arema FC dengan keputusan 3-1 untuk berkongsi empat mata dengan Ayeyawady United diikuti Arema FC dan Kelantan yang masing-masing meraih satu mata.


Sumber : Metro

No comments:

Post a Comment