Nuffnang Ads

Tuesday, October 23, 2012

Juara Piala Malaysia 2012 | Kerajaan Kelantan umum ganjaran esok : TGNA



Kerajaan Kelantan akan mengumumkan ganjaran khas untuk pemain bola sepak negeri itu yang telah berjaya menjulang Piala Malaysia edisi 2012, esok.



Kelantan telah mengatasi Angkatan Tentera Malaysia, Sabtu lalu, sekali gus menjulang piala itu buat kali kedua dan memperoleh tiga kejuaraan musim ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat Exco esok.

“Insya-ALLAH, Exco yang berkaitan akan membuat pengumuman selepas mesyuarat Exco,” kata beliau dipetik Harakahdaily.
Beliau juga menyifatkan kemenangan itu juga sebagai hadiah untuk pentadbiran kerajaan Kelantan yang kini genap 22 tahun.
Pas menguasai kerajaan negeri Kelantan menerusi Pilihan Raya Umum 1990.
Katanya, sebelum ini kerajaan Kelantan telah memberikan tiket umrah kepada pemain, imbuhan kepada jurulatih ketika itu termasuk sebuah rumah kepada penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
“Orang sudah berbuat budi, kita selaku kerajaan tentu saja akan juga berbudi kepadanya,” kata Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas.
Katanya, Islam memang mengajar hambanya membalas budi serta menyenangkan hati mereka, termasuk orang yang memberikan senyuman.
Beliau turut mendapat gambaran bagaimana pasukan Kelantan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi juara pada malam itu demi untuk mengharumkan nama negeri.
“Dalam fikiran saya turut terfikir, sekiranya anak muda berusaha menjuarai perlawanan bola sepak setiap musim, begitu juga dengan royalti yang kini juga dituntut oleh anak muda.
“Saya juga berharap kesungguhan bola sepak yang dikuasai anak muda, akan memberi kejayaan juga pada tuntutan royalti oleh anak muda bersama R,” ujarnya.
“Walaupun saya ini dah berusia, tetapi kegembiraan kerana kemenangan itu tidak dapat saya gambarkan dengan perkataan,” ujarnya.

“Bila dah berusia ini memang tak boleh bermain dah, tetapi sewaktu saya muda dulu memang saya ini kaki bola, sewaktu saya duduk di pondok Jertih, saya bermain bola ditendang oleh kawan saya, menyebabkan lutut saya sampai sekarang masih bermasalah,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment