Apex bakal pamer kehebatan

Ismail (tengah) dan Mohd Razif (dua, kiri) menunjukkan piala yang menjadi rebutan dalam pertandingan sepakan penalti apabila Kelantan dan QPR turun menjalani sesi latihan
KOTA BHARU – Siapa yang lebih tangkas, sama ada Khairul Fahmi Che Mat atau Robert Green di gawang gol masing-masing bakal terjawab, apabila kedua-dua mereka berpeluang mempamerkan kehebatan menepis sepakan penalti dalam sesi latihan Kelantan dan Queens Park Ranger, di Stadium Sultan Muhammad IV, petang Khamis ini.

Pertandingan sepakan penalti tersebut adalah sebahagian daripada aktiviti sesi latihan tertutup kedua-dua pasukan, dan hadiah sebanyak 80 bola akan diberikan percuma kepada peminat bola sepak yang hadir menyaksikan pada hari tersebut.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Ismail Md Noor berkata, pemenang pertandingan sepakan penalti tersebut akan menerima trofi khas yang disumbangkan oleh Kumpulan Sentosa.

“Dua pemain import baharu, Keita Mandjou dan Mijo Dadic selain tiga pemain tempatan dijangka menyempurnakan lima sepakan tersebut sementara, bekas bintang Manchester United, Park Ji Sung akan melakukan tendangan bagi pasukannya.

“Sekiranya berkesudahan seri,penentuan sepakan penalti ‘sudden death’ akan dilakukan bagi mencari pemenang dalam pertandingan tersebut. Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sentosa, Datuk Razali Daud akan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kafe The Red Warriors, di sini semalam. Hadir sama ialah Pengarah Kumpulan Sentosa, Mohd Razif Datuk Razali, Pengurus Kewangannya, Nik Zulfikri Mahmood dan pemain import Kelantan, Keita Mandjou.

Sementara itu, Mohd Razif berkata, pihaknya berasa bangga, dapat bersama-sama membantu Kafa menyambut kehadiran kelab Liga Perdana Inggeris itu ke Kota Bharu. “Ini adalah pertama kali kami bekerjasama dengan Kafa. Ini  sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat dan kami bersedia menjalinkan hubungan lebih kukuh pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, bagi pemegang tiket perlawanan persahabatan yang berharga RM33 dan 53 boleh menyaksikan sesi latihan tertutup ini secara percuma, dengan memasuki tempat duduk terbuka di dalam stadium.

Sementara itu, orang yang berminat juga boleh membeli tiket astaka berharga RM10 dan RM5 (terbuka) bagi menyaksikan sesi latihan ini. 


Sesi Latihan Tertutup Khamis Queens Park Rangers dan Kelantan

Masa: 5 petang
Tempat: Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu

Info jualan tiket
* Kaunter tiket stadium (10 pagi hingga 6 petang).
* Kafe The Red Warriors (10 pagi hingga 11 malam).
* DS Telecommunication (bersebelahan Wisma Perkeso, Jalan Kota Darul Naim) (10 pagi hingga 10 malam).
* Tiket perlawanan persahabatan antarabangsa QPR menentang Kelantan (20 Julai) dan tiket sesi latihan tertutup (19 Julai) mula dijual hari ini.

*Peminat bola sepak jangan lepaskan peluang ini.

Sumber : Sinar Harian