KOTA BHARU – Percaturan Bojan Hodak merencanakan taktikal berkesan membolehkan Kelantan meraih tiga mata penting, setelah menewaskan Negeri Sembilan 3-2 di Stadium Tuanku Abdul Abdul Rahman, Paroi.
Meskipun bertandang ke Seremban dengan skuad tempang, namun Hodak bijak memanipulasi kelebihan pemain yang ada bagi membentuk barisan mantap ketika berhadapan skuad Jang itu.
Hakikat itu diakui sendiri Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim yang menyifatkan perancangan jurulatih dari Croatia itu menggunakan tenaga muda, terbukti membuahkan hasil setelah kehilangan ramai pemain akibat penggantungan dan kecederaan.
“Kita pergi ke sana dengan separuh kekuatan hilang setelah ramai pemain mengalami kecederaan. Namun, beliau memanfaatkan segala kekuatan pemain yang ada untuk membolehkan kita meraih tiga mata,” katanya ketika dihubungi.
“Beliau tidak ada pilihan, hanya membawa 16 pemain termasuk tiga pemain Piala Presiden ke sana namun berjaya melakukannya. Saya fikir pujian harus diberikan kepada beliau dan semua pemain yang memastikan kemenangan Kelantan.
Dalam perlawanan tersebut, tuan rumah terlebih dahulu mengejutkan Kelantan seawal minit ke-14 menerusi jaringan Mohd Firdaus Azizul.
Namun Azlan Ismail memastikan kebangkitan Kelantan apabila menyamakan kedudukan dua minit sebaik babak kedua bersambung.
Mohammad Ghaddar dan Indra Putra Mahayuddin terus menjarakkan kedudukan apabila menjaringkan gol pada minit ke- 63 dan 69 perlawanan.
Gol hasil tandukan Kapten Negeri Sembilan, Muhammad Shukor Adan sudah terlalu lewat untuk pasukannya mencipta kebangkitan.
Menurut Azman, kemasukkan Mohammad Ghaddar dan Mohd Badhri Radzi pada babak kedua, ternyata menghidupkan kembali corak persembahan Kelantan setelah dilihat terikut-ikut dengan rentak pemain tuan rumah pada awal permainan. "Aksi kita kurang menjadi pada awal babak pertama, sehingga membenarkan Negeri Sembilan menjaringkan gol awal. Namun sesuatu yang positif bagi pemain kita ialah tidak mudah tertekan, sebaliknya bangkit melawan sehingga mampu mendapatkan tiga gol,” katanya.
Sementara itu, Azman memberi peringatan kepada barisan pemainnya tidak memandang mudah baki tiga perlawanan selepas ini, meskipun Kelantan hanya memerlukan tiga mata untuk mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu.
Sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment