Nuffnang Ads

Friday, July 20, 2012

TRW bersedia: Yakin mampu jinakkan QPR malam ini



TRW bersedia: Yakin mampu jinakkan QPR malam ini

The Red Warrior - Queens Park Rangers
MENURUNKAN skuad penuh The Red Warriors (TRW) termasuk kesemua pemain import mereka dalam perlawanan persahabatan menentang Queens Park Rangers hari ini, Kelantan yakin nasib mereka jauh lebih baik daripada apa yang dialami Sabah Selasa lalu.

Enggan membiarkan pasukan mereka diratah skuad kendalian Mark Hughes yang dibarisi pemain ternama dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL), Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim yakin nasib TRW tidak sama seperti pasukan pilihan Sabah yang tewas 0-5.

Menjanjikan rentak permainan Kelantan berbeza berbanding Sabah, TRW pasti memberikan saingan sengit kepada QPR kerana barisan yang diturunkan adalah pemain tetap dan bukannya pinjaman.

Optimis dengan pemain yang bakal diturunkan oleh Bojan Hodak, Azman menjelaskan tidak mustahil QPR mampu dijinakkan memandangkan kesemua pemain Kelantan sudah serasi beraksi dalam saingan bola sepak tempatan.

"Jangan samakan TRW dengan pilihan Sabah. Meskipun dibarisi pemain import pinjaman daripada Australia, Indonesia dan Singapura, mereka hanya bersama untuk perlawanan menentang QPR.

"Corak permainan Kelantan dengan pilihan Sabah sudah tentu berbeza dan inilah yang akan kita pamerkan dalam perlawanan malam nanti," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bebas menukar pemain sepanjang perlawanan tanpa sebarang had, Azman yakin Bojan Hodak mampu menukar strategi bagi membuktikan TRW adalah pasukan hebat sesuai dengan gelaran juara Liga Super dua tahun berturut-turut.

Kelantan bakal menurunkan kesemua bintang import miliknya seperti Mohammad Ghaddar, Obinna Nwaneri, Dennis Antwi, Zakaria Charara, Emmanuel Okine dan dua import baru, Keita Mandjou serta Mijo Dadic.

No comments:

Post a Comment