“SAYA gembira membimbing Kelantan sekali gus membantu pasukan ini mempertahankan mahkota kejuaraan Liga Super buat kali kedua berturut-turut.”
Demikian luah pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak sejurus pasukannya mencatatkan kemenangan besar dengan menumbangkan Perak 6-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, malam kelmarin.
Tanpa berselindung, Hodak mengakui dia gembira dengan semangat juang yang dijelmakan oleh barisan pemainnya sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan.
“Sebelum perlawanan saya ada memberitahu pengurus pasukan (Azman Ibrahim) bahawa pemain mahu menang dalam perlawanan ini seterusnya menghadiahkan kejuaraan liga sebagai bonus dan akhirnya mereka berjaya melakukannya dengan baik.
“Sepanjang membimbing Kelantan, saya lihat barisan pemain Kelantan telah menunjukkan corak permainan yang konsisten sejak dari awal hingga akhir perlawanan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.
Dalam perkembangan lain, Hodak memberitahu, untuk pertemuan dengan Felda United esok, beliau bakal kehilangan khidmat dua pemain utamanya iaitu Daudsu Jamaluddin dan ketua pasukan Mohd. Badri Radzi yang digantung perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning.
“Ditambah pula dengan kecederaan yang dialami oleh beberapa pemain utama, namun saya tetap akan mempertaruhkan barisan terbaik untuk menghadapi perlawanan tersebut,” ujarnya.
Selepas membantu The Red Warriors menjulang kejuaraan Piala FA buat kali pertama musim ini, pengendali kelahiran Croatia itu membuktikan sentuhannya semakin berbisa apabila membimbing Kelantan mempertahankan gelaran Liga Super yang dimenangi pada musim lalu.
Lebih menarik, kejuaraan untuk musim ini diraikan lebih awal, biarpun masih berbaki dua perlawanan sebelum saingan Liga Super melabuhkan tirainya pada Sabtu depan.
Kejayaan mempertahankan kejuaraan liga kali kedua berturut-turut meletakkan namanya selaku jurulatih asing pertama yang berjaya membimbing Kelantan menjulang dua kejuaraan dalam satu musim setakat ini.
Sementara itu, ketua pasukan Mohd. Badri Radzi memberitahu, kejayaan mempertahankan kejuaraan liga melonjakkan lagi semangat mereka untuk merangkul Piala Malaysia selepas ini.
No comments:
Post a Comment