KOTA BHARU – Hanya 16 pemain ke Seremban. Itulah jumlah pemain yang dibawa oleh Kelantan dalam meneruskan misi memburu tiga mata apabila berhadapan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
Nasib malang terus menimpa The Red Warriors, selepas kehilangan Obinna Nwaneri dan Mohd Nurul Azwan Roya kerana mengumpul tiga kad kuning, pengendali pasukan, Bojan Hodak terus pening kepala apabila giliran Norshahrul Idlan Talaha pula terpaksa disisihkan kerana mengalami kecederaan.
“Saya tidak ada banyak pilihan. Itu sahaja yang kami ada tetapi misi memburu tiga mata perlu diteruskan. “Perlawanan ini cukup penting dan kita datang ke Seremban untuk meraih tiga mata.
“Separuh kekuatan pasukan kita hilang. Tetapi saya tidak boleh berputus asa dan perlu memandang ke depan. “Baki empat perlawanan cukup penting dan saya perlu menyuntik sedikit motivasi kepada pemain untuk mereka membawa pulang tiga mata ke Kota Bharu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Ketiadaan penyerang kebangsaan memaksa jurulatih dari Croatia itu menyenaraikan Muhammad Ramzul Zahini bergandingan dengan Mohd Norfarhan Muhammad setelah peluang penjaring terbanyak Kelantan dengan tujuh gol setakat ini, Mohammad Ghaddar untuk diturunkan masih samar.
“Dia (Mohammad Ghaddar) dan Piya (Mohd Badhri Radzi) masih 50-50 untuk diturunkan tetapi saya tetap bawa mereka ke sana. “Saya tidak bimbang kerana pemain muda seperti Khairul Izuan (Rosli) juga boleh beraksi dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Hodak tidak menganggap penggantungan tiga tonggak skuad Jang iaitu Jean Emmanuel Effa Owona, Rashid Mamud dan Mohd Aliff Samsuddin memberi laluan mudah kepada anak buahnya untuk mengganas di Paroi.
“Jangan cepat memandang rendah pasukan lawan. Mereka pasti mahu bangkit setelah tewas 1-2 kepada PKNS FC tempoh hari. “Ketika itu Mohd Shukor (Adan) tidak beraksi dan malam ini dia kembali bersama Negeri Sembilan.
“Begitu pun pemain veteran, Idris (Abdul Karim) yang boleh mengemudi jentera mereka dengan baik. “Saya akan mengarahkan S Subramaniam atau Mohd Rizal Fahmi (Ab Rosid) mengawal ketat ayam tambatan mereka, Mohd Shakir (Ali) dalam pertemuan malam ini,” katanya.
Untuk rekod, Kelantan berjaya menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam pusingan pertama di Kota Bharu pada 4 Mac lalu menerusi gol kemenangan S Chanturu pada minit-minit akhir perlawanan.
Sumber ; Sinar Harian
No comments:
Post a Comment