Nuffnang Ads

Saturday, July 14, 2012

'Semua pasukan seimbang' : Mat Yo


NORSHAHRUL (dua dari kiri) ketika hadir pada majlis pelancaran produk but terbaharu keluaran Adidas di Sports Planet Kota Damansara, Kuala Lumpur kelmarin.


PENYERANG prolifik skuad negara, Norshahrul Idlan Talaha tidak mahu menjadikan undian sukar pada kempen Piala Suzuki AFF 2012 sebagai alasan dalam usaha mengekalkan status Malaysia selaku juara bertahan.
Sebaliknya, Norshahrul yang juga merupakan penyerang Kelantan berkata, setiap pasukan memiliki peluang seimbang untuk mara ke peringkat separuh akhir.
"Setiap pasukan dalam kalangan negara ASEAN (Asia Tenggara) sebenarnya memiliki peluang yang sama rata. Masing-masing ada kelebihan yang tersendiri.
"Jadi, saya tidak kisah berdepan dengan mana-mana pasukan sekalipun pada kempen Piala Suzuki AFF kali ini," kata Norshahrul ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran produk kasut but terbaharu keluaran Adidas, Predator Lethal Zones di Sports Planet Kota Damansara kelmarin.
Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut, empat lagi tonggak utama skuad negara iaitu Mohd. Asraruddin Putra Omar, Mohd. Farizal Marlias dan S. Kunanlan.
Pada kempen Piala Suzuki AFF kali ini, Harimau Malaya telah diundi dalam Kumpulan B yang dilabel sebagai 'kumpulan maut' bersama-sama dua musuh tradisi, Singapura dan Indonesia.
Thailand, Vietnam dan Filipina pula telah diundi dalam Kumpulan A manakala bagi Brunei, Myanmar, Laos, Timor Leste dan Kemboja akan beraksi pada pusingan kelayakan di Myanmar bermula 5 Oktober ini.
Mengulas lanjut, Norshahrul berkata, aksi persahabatan menentang dua kelab gergasi England, Arsenal dan Manchester City penghujung bulan ini adalah medan terbaik untuk membentuk kombinasi para pemain negara sebagai persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF yang dijadual berlangsung November depan.
Sementara itu, nada berbeza disuarakan Asraruddin yang merupakan tonggak pertahanan kiri skuad negara apabila yakin Malaysia memiliki kelebihan tersendiri untuk mengekalkan kejuaraan yang diraih dua tahun lalu.
"Berdasarkan undian, Singapura dilihat sebagai ancaman utama kepada skuad negara kerana mereka memiliki ramai pemain berbakat. Saya jangkakan hampir separuh pemain (Lion XII FC) yang beraksi dalam Liga Malaysia tahun ini akan mewakili Singapura ditambah dengan pemain import mereka.
"Namun, kelebihan memihak kepada Malaysia selaku tuan rumah bersama. Jika dua tahun lalu beraksi di negara orang, kita boleh mencipta kejayaan, apatah lagi beraksi di negara sendiri.
"Saya percaya, semua pemain sudah cukup matang untuk mengatasi tekanan pada kejohanan tersebut nanti," kata Asraruddin yang beraksi di bahagian pertahanan tengah Selangor musim ini.
Malaysia dan Thailand dipilih sebagai tuan rumah bersama Piala Suzuki AFF 2012 yang menyaksikan dua peringkat iaitu Kumpulan A di Thailand dan Malaysia menjadi hos aksi Kumpulan B.

Sumber : Kosmo

No comments:

Post a Comment