PENGURUS pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata, rundingan dua pemain Kuala Lumpur yang bakal dipinjamkan kepada The Red Warriors (TRW) bagi mengharungi saingan Piala Malaysia kini berada di peringkat akhir.
Jelasnya, pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) hanya menunggu beberapa dokumen berkaitan perpindahan tersebut untuk mendapatkan khidmat pemain itu.
Seandainya ia berjalan dengan lancar, dua pemain berkenaan bakal bersama pemain Kelantan nanti.
"Secara dasarnya, hasrat ini masih dalam perbincangan. Kami harus mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Sekiranya semua berjalan dengan lancar, dan dokumen diserahkan kepada Kafa, baru saya akan sahkan," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Difahamkan ketua pasukan Kuala Lumpur, Mohamed Aslam Haja Najumudden dan penyerangnya Mohd Afiq Azmi bakal bersama pemain Kelantan dalam mengharungi Piala Malaysia yang bakal memulakan saingan penghujung Ogos nanti.
Mengulas mengenai hasrat mendapatkan pemain tersebut, Azman berkata, keputusan tersebut adalah tepat untuk menambah sengat di barisan pemain Kelantan.
"Berdasarkan pemerhatian, kita lihat mereka seorang pemain yang bagus dengan memiliki kemampuan mengawal bola beserta larian yang baik.
"Jadi, kita berharap dengan kehadiran mereka akan dapat memantapkan serangan pasukan kita," katanya lagi.
Sementara itu, Mohd Aslam ketika dihubungi menyifatkan berada dalam pasukan TRW sudah tentu peluang yang tidak mungkin dilepaskannya memandangkan pasukan ini mempunyai ramai pemain berpengalaman dan berkualiti.
"Peluang ini amat berharga dan terlalu sukar untuk menolak peluang yang ada.
"Bagaimanapun, saya menyerahkan segala keputusan kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA)," kata Aslam.
No comments:
Post a Comment