Naib Presiden KAFA, Datuk Ismail Md Noor (tiga dari kiri) menunjukkan piala tajaan Kumpulan Sentosa yang menjadi rebutan antara Kelantan dan QPR dalam cabaran sepakan penalti sambil diperhatikan Keita (dua kanan) di Kota Bharu, semalam.  - Foto Nik Abdullah Nik OmarNaib Presiden KAFA, Datuk Ismail Md Noor (tiga dari kiri) menunjukkan piala tajaan Kumpulan Sentosa yang menjadi rebutan antara Kelantan dan QPR dalam cabaran sepakan penalti sambil diperhatikan Keita (dua kanan) di Kota Bharu, semalam. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Janji kejutan kepada penyokong The Red Warriors berdepan QPR

Kota Bharu: Pemain import terbaru Kelantan, Keita Mandjou tidak sabar untuk membuat kejutan kepada penyokong The Red Warriors apabila berdepan dengan kelab Inggeris, QPR di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.Keita, 33, dari Guinea menandatangani kontrak perjanjian selama setahun setengah untuk membantu pasukan gergasi Pantai Timur itu dalam saingan suku akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), September ini.
 
“Bertemu dengan QPR nanti adalah persembahan pertama saya bersama The Red Warriors dan saya akan membuktikan kemampuan saya dengan menyumbang gol.

“Saya yakin tiada masalah untuk bersama pasukan hebat ini dan sudah mengenali pemain tempatan seperti Indraputra Mahyuddin, Norsharul Idlan Talaha, Mohd Daudsu Jamaluddin, Norfarhan Mohamad dan S Subramaniam ketika bersama-sama di Perak sebelum ini,” katanya.

Keita berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Cabaran Sepakan Penalti Piala Kumpulan Sentosa di Kafe The Red Warriors, Kota Bharu, semalam.

Hadir sama Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Ismail Md Noor dan Pengarah Kumpulan Sentosa, Mohd Razif Razali. 
Pada sesi latihan bersama QPR Khamis ini, akan berlangsung pertandingan sepakan penalti di antara kedua-dua pasukan, The Red Warriors dan QPR, bagi merebut Piala Kumpulan Sentosa.

Sementara itu, Ismail berkata, pertandingan sepakan penalti itu julung kali diadakan dan antara tujuannya ialah bagi menguji kehebatan penjaga gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

“Lima pemain QPR akan membuat sepakan penalti ke gawang Kelantan yang dijaga Khairul Fahmi, sekali gus menguji kemampuannya mengawal pintu gol dari ditembusi pemain Liga Inggeris itu," katanya.

Beliau berkata, pada acara Khamis ini juga, KAFA akan menyediakan sebanyak 80 bola sebagai cenderahati kepada penonton bertuah yang hadir pada sesi latihan itu, yang dijangka akan bermula jam 5 petang.