Nuffnang Ads

Tuesday, July 3, 2012

The Red Warriors tak goyah: Khairul Fahmi


SENARAI kecederaan berpanjangan semakin menghimpit misi Kelantan yang berusaha keras mempertahankan gelaran Liga Super pada musim ini.
The Red Warriors kini memerlukan enam mata daripada empat perlawanan bagi memastikan kejuaraan kekal milik mereka namun tidak dapat menurunkan kesebelasan terbaik apabila turun menentang Negeri Sembilan di Paroi, malam ini.

Antara pemain yang sudah pasti terlepas baki Liga Super musim ini adalah empat pemain pertahanan iaitu Aziz Ismail, Azizi Matt Rose, Mohd Farisham Ismail dan Zairol Fitree Ishak.
Lebih menyulitkan keadaan adalah ketiadaan tonggak pertahanan import, Obinna Nwaneri dan pemain sayap lincah, Nurul Azwan Roya yang digantung satu perlawanan selain kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi yang dijangka turut terlepas aksi di Stadium Tunku Abdul Rahman kerana mengalami kecederaan ketika menentang Selangor beberapa hari lalu.

Situasi terbabit pastinya membuka peluang kepada barisan pemain simpanan dan pemain Piala Presiden yang mungkin diserap pengendali Kelantan, Bojan Hodak bagi membolehkan Kelantan meraih kemenangan ke-16 Liga Super.

Penjaga gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat tidak mahu terlalu memikirkan tentang kecederaan rakan sepasukan sebaliknya memberikan tumpuan penuh mengawal gawangnya bagi memastikan kemenangan terus dilakar The Red Warriors dalam misi getir mempertahankan kejuaraan Liga Super.
“Saya tidak anggap itu satu masalah. Saya yakin dengan barisan pemain yang masih ada dan kami mampu untuk mengutip tiga mata selain mencerahkan peluang bergelar juara. Malah sebelum ini juga kami mengamalkan sistem penggiliran pemain dan saya lihat kecederaan tidak akan menjadi penghalang,” kata penjaga gol kebangsaan itu.

Dia bagaimanapun tetap mengingatkan rakan sepasukan tidak memandang rendah lawan yang beraksi di tempat sendiri walaupun skuad kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah itu turun tanpa penjaring utama, Jean-Emmanuel Effa Owona serta Rashid Mahmud dan Mohd Alif Shamsuddin.
“Mereka tetap berbahaya kerana masih mempunyai sejumlah pemain berkualiti. Saya percaya tanpa kehadiran Owona sekalipun, Negeri Sembilan mampu mengancam menerusi Ahmad Shakir (Ali) yang perlu diawasi dengan rapi,” katanya.

Kelantan kini mengungguli Liga Super dengan 51 mata manakala Negeri Sembilan di kedudukan kelima dengan 33 mata.

No comments:

Post a Comment