Nuffnang Ads

Friday, August 10, 2012

FAM tangguh kes gaduh Ghaddar



Mohammad Ghaddar

Mohammad Ghaddar
KES pergaduhan melibatkan penyerang Kelantan dari Lubnan, Mohammed Ghaddar Mahmoud dengan dua pemain Selangor pada 29 Jun lepas yang sepatutnya dibicarakan di hadapan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, ditangguhkan kepada 16 Ogos ini.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan Datuk Taufik Abdul Razak berkata, kes itu ditangguhkan ke tarikh baharu setelah Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) memaklumkan Mohammed Ghaddar sedang bercuti selepas melangsungkan perkahwinannya di Lubnan.

"Kita mendapat surat daripada Kafa semalam memaklumkan pemain itu baru selesai mengadakan majlis perkahwinan di Lubnan dan akan kembali ke negara ini pada 13 Ogos.

"Setelah mengambil kira pelbagai sudut termasuk beliau (Mohammed Ghaddar) telah menghantar borang B - borang orang tidak mengaku salah serta surat pembelaan, kita bersetuju menangguhkan kes beliau kepada 16 Ogos ini," katanya
kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan di Wisma FAM, di sini hari ini.

Dua pemain Selangor - Mohd Amri Yahyah dan Mohd Bunyamin Umar, masing-masing digantung tiga perlawanan selain didenda RM1,500 oleh jawatankuasa berkenaan pada Selasa lepas, setelah kedua-duanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka.

Dalam insiden di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, Mohd Bunyamin didakwa menumbuk Mohamad Ghaddar manakala Mohd Amri dikatakan memijak belakang pemain tersebut pada perlawanan yang berkesudahan pasukan tuan rumah menumpaskan Selangor 1-0.
Ditanya bentuk tindakan yang boleh diambil ke atas penyerang tersebut sekiranya tidak hadir pada 16 Ogos ini, Taufik berkata pihaknya akan meneruskan kes tersebut walaupun tanpa kehadiran pemain berkenaan.
"Kes itu tetap dibicarakan kerana berdasarkan Kod 5.1.5 dan 5.1.6, jawatankuasa mempunyai hak meneruskan perbicaraan sesuatu kes walaupun tertuduh tidak hadir. Namun, saya lebih gembira jika beliau hadir menerangkan kepada kita
insiden di Kota Baharu," katanya.

Taufik berkata sekiranya pemain tersebut didapati bersalah oleh jawatankuasa tatatertib, beliau boleh dikenakan hukuman yang sama seperti terhadap Mohd Amri dan Mohd Bunyamin.
Sementara itu, katanya jawatankuasa tatatertib turut akan membicarakan kes melibatkan tiga pegawai Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) iaitu pengurus pasukan Datuk Che Nasir Salleh, penolong pengurus Zainal Abidin Hassan dan anggota fisioterapi pasukan itu pada 16 Ogos ini.
Mereka didakwa mempertikaikan keputusan pengadil yang melayangkan dua kad merah kepada pemain Pahang pada perlawanan kalah mati Liga Super ketika menentang Kedah di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 19 Julai lepas.
"Surat pertuduhan telah dihantar kepada ketiga-tiga pegawai tersebut pada Selasa lepas dan kes berkenaan  akan dibicarakan pada 16 Ogos ini," katanya.
Pada perlawanan tersebut, Pahang mencatatkan kemenangan tipis 3-2 menerusi sepakan penalti selepas terikat 2-2 pada masa penuh permainan untuk mengisi slot terakhir ke Liga Super musim depan.

Sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment