Nuffnang Ads

Wednesday, August 15, 2012

Tindakan disiplin menanti Ghaddar : Tan Sri Annuar Musa


Penyerang Kelantan Mohammad Ghaddar yang gagal melaporkan diri untuk menjalani latihan bersama skuad Red Warriors, bakal dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sebaik sahaja pemain itu melapor diri.

Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil selepas pemain tersebut melanggar peraturan dengan mengambil cuti tanpa kebenaran seperti yang telah diberikan kepadanya sebelum ini.

Menurutnya, pemain tersebut yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan akan berlepas dari Beirut, Lebanon malam ini dan dijangka tiba ke Kota Bharu kira-kira pukul 1.50 tengah hari esok.

"Sejurus tiba, dia akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin. Kafa akan mengeluarkan surat tunjuk sebab dan perlu menjawab mengapa dia tidak melaporkan diri pada 5 Ogos lalu.



"Disiplin tetap disiplin, tiada istilah pemain emas atau sebaliknya. Peraturan tetap perlu dikuatkuasa," katanya.

Annuar memberitahu, tonggak utama pasukan kebangsaan Lebanon itu bakal berdepan latihan intensif dalam usaha untuk mengembalikan semula kecergasannya selepas berehat lebih sebulan tanpa sebarang aksi kompetitif.

"Tujuan kita ialah mahu pemain ini mengembalikan prestasinya menjelang saingan Piala Malaysia yang akan bermula pada 22 Ogos ini.

"Jikalau dia gagal mengembalikan semula kecergasannya dia pasti akan berada di bangku simpanan, begitu juga dengan pemain-pemain lain," ujarnya.

Jelasnya, Kafa menjadikan perkara tersebut sebagai amalan kerana tidak mahu Red Warriors terlalu bergantung harap kepada seorang pemain sahaja memandangkan Kelantan mempunyai 30 pemain yang boleh diturunkan pada bila-bila masa.

No comments:

Post a Comment