Nuffnang Ads

Thursday, August 2, 2012

Kafa tidak bincang dengan Safee Sali untuk Piala Malaysia : Azman



safee sali


Pengurus pasukan Kelantan Azman Ibrahim hari ini menafikan dakwaan bahawa Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengadakan perbincangan awal dengan penyerang negara Mohd Safee Sali untuk membantu skuad itu menghadapi kempen Piala Malaysia yang dijangka bermula 22 Ogos ini.

Beliau berkata pasukan itu tidak pernah mengadakan perjumpaan dengan penyerang yang mewakili kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya itu memandangkan beliau tidak layak beraksi dalam Piala Malaysia.

Mengikut peraturan yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), setiap pasukan yang layak beraksi dalam Piala Malaysia tidak dibenarkan untuk meminjamkan pemain dari liga luar negara untuk memperkuatkan pasukan.

"Setahu saya, kita tidak pernah berjumpa dengan beliau untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi Piala Malaysia kerana FAM tidak membenarkan kita berbuat demikian...selain itu, kita perlu menghormati kontrak beliau bersama pasukan Pelita Jaya ketika ini," katanya kepada Bernama, hari ini.

Sebelum ini, beberapa blog sukan melaporkan bahawa KAFA telah mengadakan perbincangan awal dengan bekas penyerang Selangor itu bagi membantu juara bertahan Liga Super itu untuk menghadapi Piala Malaysia.
   
Mohd Safee kini berehat daripada ISL dan menawarkan khidmat kepada mana-mana pasukan bagi memastikannya sentiasa cergas untuk menghadapi musim baharu liga itu yang dijangka awal tahun depan.

Azman berkata KAFA meminjam tiga pemain dari pasukan lain iaitu dua dari Kuala Lumpur, Aslam Haja Najumudeen dan Mohd Afiq Azmi, dan seorang pemain Sabah, Mafrey Balang untuk memperkuatkan pasukannya bagi menghadapi kempen kali ini.

"Kita tidak berdepan masalah kecederaan pemain, cuma kita meminjam mereka bertiga kerana kita mahu memastikan pemain cergas sepenuhnya bagi menghadapi Piala Malaysia dan Piala AFC," katanya.

Kelantan akan menentang  kelab Liga Super Iraq, Arbil FC pada suku akhir Piala AFC di Iraq pada 18 Sept dan di Kota Baharu pada 25 September.

Ditanya mengenai sasaran pasukan itu pada saingan Piala Malaysia musim ini, Azman berkata pihak pengurusan telah meletakkan sasaran ke separuh akhir seperti yang diraih musim lepas.

Pencapaian pasukan `The Red Warriors' itu pada saingan Piala Malaysia ialah muncul naib juara sekali iaitu pada 2010 dan naib juara sebanyak tiga kali iaitu pada 1955, 1970 dan 2009.


Sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment