Nuffnang Ads

Monday, January 14, 2013

Kelantan belum temui rentak : Bojan


Juara trebel musim lalu, Kelantan memulakan misi mempertahankan kejuaraan dengan langkah yang agak sumbang apabila tewas dua kali dan hanya menang sekali dalam tiga perlawanan sejak memulakan kempen menerusi perlawanan Piala Sumbangsih 5 Januari lalu.



Bergaya membuka tirai Liga Super musim 2013 dengan mengatasi PKNS di laman sendiri Rabu lalu, The Red Warriors terpaksa menanggung kekalahan pertama apabila diaibkan oleh T-Team pada pertemuan petang kelmarin di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Bagaimanapun ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak tidak mempamerkan riak kebimbangan malah, percaya aksi anak-anak buahnya akan berada pada tahap sebenar sedikit masa lagi selain menyifatkan aksi terumbang-ambing yang dipamerkan ketika ini hanya bersifat sementara.
Menurutnya, beliau mengakui bahawa aksi menentang T-Team adalah di bawah keupayaan sebenar selain keadaan padang dan cuaca juga dilihat mempengaruhi persembahan kebanyakan pemainnya sehingga terpaksa akur dengan tahap 'kesegaran' anak-anak didik Peter James Butler.
“Aksi kita kurang baik kerana beraksi di atas padang yang tidak begitu baik. Itu memberi tekanan terutama pemain seperti Keita (Mandjou), Obinna (Nwaneri) Daudsu (Jamaluddin) dan Norfarhan (Mohamad) yang kurang selesa beraksi di atas padang sebegitu menyebabkan pergerakan mereka agak berat dan tersekat.

“Sebelum ini, kita juga beraksi di atas padang yang basah dan becak ketika menentang PKNS di Kota Bharu, menyebabkan pemain juga mempamerkan aksi perlahan dan keletihan. Kita memerlukan sedikit masa untuk memulihkan keadaan itu dan saya tidak fikir ia merunsingkan,” katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, perlawanan tersebut seimbang malah, Kelantan mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol namun, digagalkan dengan penyudah yang tumpul berbeza dengan T-Team yang tidak mempunyai banyak ruang tetapi, berjaya memanfaatkan satu peluang yang mereka peroleh.
Dalam pada itu, Hodak memberitahu, faktor keletihan kerana mengharungi jadual perlawanan yang padat juga menyebabkan anak-anak buahnya gagal mempamerkan aksi yang berkualiti selepas beraksi dalam tiga perlawanan untuk tempoh lapan hari.
“Ia merupakan perlawanan yang cukup sengit dan secara jelas anda terpaksa beraksi dalam tempoh setiap tiga hari dan sudah tentunya anda tidak akan melihat kualiti dalam bola sepak. Pada separuh masa pertama, cuacanya sangat panas, namun, ia sedikit selesa pada separuh masa kedua.

“Mungkin semua orang menjangkakan kita akan menang pada perlawanan tersebut, saya juga merasakan demikian tetapi kadangkala bola sepak boleh jadi begini dan boleh jadi begitu. Adakala anda boleh menang tetapi tempoh hari nasib kita tidak begitu baik,” ujarnya

No comments:

Post a Comment