Nuffnang Ads

Wednesday, January 16, 2013

Sama gagah!

Pertembungan gergasi Pantai Timur, Kelantan dan Harimau Selatan, Johor Darul Takzim (Johor DT) yang dinanti-nantikan berakhir dengan keputusan seri apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi Liga Super di Kota Bharu, malam tadi. 

Beraksi dengan penuh semangat, kedua-dua pasukan memperagakan aksi menarik sepanjang 90 minit permainan dengan saling melakukan serangan bertali arus.

Kelantan mempunyai peluang terbaik untuk memecahkan kebuntuan seawal minit ke-11, namun rembatan tonggak importnya Keita Mandjou berjaya dinafikan oleh penjaga gol Johor Darul Takzim, Mohd. Zamir Selamat.

Dibelenggu beberapa episod kontroversi sebelum ini, kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan tempo yang agak pantas dalam tempoh 10 minit pertama perlawanan dengan berbalas serangan termasuk beberapa gerakan untuk memecah benteng pertahanan masing-masing.
Pengadil perlawanan juga menunjukkan mutu pengadilan yang amat lemah dan meragukan sepanjang perlawanan, malah beberapa keputusan pengadil banyak menimbulkan kemarahan penyokong tuan rumah.
Penyerang Johor DT, Mohd. Safee Sali lebih dulu mengejutkan tuan rumah melalui sepakan akrobatik selepas menerima hantaran pemain import dari Itali, Simone Del Nero namun, sepakan tersebut berjaya diselamatkan oleh Khairul Fahmi Che Mat.
Johor DT meneruskan asakan dan hasilnya mereka berjaya mendapatkan dua sepakan percuma pada minit ke-26 dan 34 namun, sepakan yang diambil ketua pasukannya, Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abd. Razak terus ke dakapan Khairul Fahmi.

Stadium Sultan Muhammed Ke IV akhirnya gempita dengan sorakan lebih 25,000 penyokong The Red Warriors apabila pemain sayap mereka, Norfarhan Muhamad berjaya merobek gawang Johor DT yang dikawal oleh Zamir Selamat.
Beliau yang turun membantu bahagian pertahanan berjaya mendapatkan bola dan melakukan larian solo sebelum melepaskan rembatan kencang dari jarak 20 meter biarpun terdapat lima pemain lawan yang cuba mengekang pergerakannya.
Kelantan kemudian terus menggandakan asakan dan hampir menambah jaringan juga melalui Norfarhan yang menerima umpanan daripada Indra Putra Mahayuddin namun, Zamir dilihat lebih bersedia untuk menafikan sepakan tersebut.
Separuh masa kedua menyaksikan Kelantan terus menggandakan asakan melalui kombinasi penggempur mereka, Indra Putra dan Norfarhan yang mendapat peluang menarik termasuk ketua pasukan mereka Badri Radzi yang me lepaskan rembatan menarik pada minit ke-61 namun, percubaan mereka melepasi palang
Terdesak mencari jaringan penyamaan, pelawat akhirnya memasukkan penyerang termahal mereka, Daniel Guiza bagi menggantikan pemain sayap lincah Nurul Azuan Roya pada minit ke-51.

Pun begitu, Kelantan terus mendominasi perlawanan menerusi dua peluang terbaik masing-masing yang hadir pada minit ke-59 dan 61 menerusi Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Badhri Radzi, namun terus buntu menambah jaringan.

Bagaimanapun, Johor DT akhirnya berjaya menyamakan kedudukan apabila bintang import sensasi dari Sepanyol, Daniel Guiza mencetak nama sebagai penjaring selepas sepakan percumanya dari jarak 30 meter gagal diselamatkan oleh Khairul Fahmi.
Beberapa siri serangan oleh kedua-dua pasukan selepas itu menemui kegagalan apabila dipatahkan oleh barisan pertahanan pasukan masing-masing.

No comments:

Post a Comment