Nuffnang Ads

Saturday, July 28, 2012

Isu Ghaddar: Penyokong harap FAM berlaku adil



Mohammad Ghaddar

Mohammad Ghaddar
Dua kelab penyokong terbesar di Kelantan berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat menjalankan siasatan menyeluruh berkenaan isu pertuduhan penyerang Kelantan, Mohammad Ghaddar yang disabit kesalahan memukul pemain Selangor, Mohd Bunyamin Umar.
Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Mahizi Mahmood berkata, sekiranya pemain berasal dari Lubnan itu didapati bersalah, amat wajar beliau dikenakan hukuman.

“Namun kita berharap FAM dapat melakukan siasatan secara adil tanpa melihat seseorang pemain itu bermain dengan pasukan mana.

“Kalau pemain Kelantan atau Selangor melakukan kesalahan sekali pun, mereka perlu dijatuhi hukuman.

“Saya difahamkan menerusi rakaman video YouTube, Mohammad Ghaddar terlebih dahulu menumbuk muka Bunyamin (Umar).

“Kita sendiri pun tidak tahu apa yang berlaku antara kedua-dua pemain tersebut. Jadi kita serahkan kebijaksanaan Jawatankuasa Tatatertib FAM yang membicarakan kes ini,“ katanya.
FAM menerusi sepucuk surat bertarikh 24 Julai lalu kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memaklumkan Mohammad Ghaddar didapati bersalah berkelakuan ganas atau tiada semangat kesukanan dengan menyerang dan memukul pemain Selangor pada aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu 29 Jun lalu.
Tanpa mempertikaikan kredibiliti badan induk bola sepak kebangsaan, Mahizi berharap para penyokong The Red Warriors dapat menerima keputusan hukuman tersebut dengan hati terbuka apabila Jawatankuasa Tatatertib FAM bersidang 2 atau 3 Ogos ini.
Sementara itu, Setiausaha Kelab Penyokong Rasmi Bola Sepak Kelantan (KPBSK), Rozamri Mohd Ali juga berharap pihak FAM dapat bertindak lebih telus dan rasional dalam menangani isu ini.

“FAM boleh bertindak mengenakan tuduhan sama ada berdasarkan aduan atau pun tanpa aduan.

“Dalam konteks ini, siapa yang bersalah perlu menerima hukuman. Ia boleh menjadi iktibar kepada pasukan-pasukan lain dan demi kemajuan bola sepak negara sendiri.
“Cuma saya berharap FAM berlaku adil dan tidak hanya bertindak dengan memilih kes-kes tertentu sahaja.
“Sebagai contoh, insiden Penolong Pengurus dan Jurulatih Liga Premier Pahang yang mempertikaikan keputusan pengadil ketika perlawanan play-off dengan Kedah tempoh hari diketepikan begitu sahaja hanya kerana alasan tiada rakaman video.
“Sedangkan Datuk Taufik Abdul Razak (Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM) sendiri menyaksikan kejadian tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment