Nuffnang Ads

Friday, July 6, 2012

‘Saya mahu rehat’ : Ong Kim Swee

Ong Kim Swee
Ong Kim Swee
JURULATIH skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Ong Kim Swee menafikan beliau akan meletakkan jawatan dan menyifatkan berita yang timbul selepas kegagalan pasukannya di Kejohanan Kelayakan Piala Asia B-22 2013 di Yangon itu sekadar spekulasi.

Beliau yang terkejut dengan berita yang tersebar luas di laman sosial menyatakan mahu berehat seketika sebelum memikirkan hala tuju pasukan muda yang dibentuknya itu.

“Bagi saya berita itu tidak benar, ia hanyalah spekulasi. Buat masa ini saya mahu meluangkan masa bersama keluarga. Mungkin selepas dua tiga hari saya akan kembali merancang mengenai pasukan muda ini.

“Pasukan ini dibentuk untuk melayakkan diri ke Piala Asia tahun depan dan sasaran itu tidak berjaya, jadi saya perlu tahu apakah hala tuju pasukan selepas ini,” katanya.

Malaysia gagal merebut slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-22 tahun depan selepas tewas 1-2 kepada Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan G Selasa lalu. Myanmar yang menamatkan kempen di tangga kedua mengiringi juara kumpulan Korea Selatan ke pusingan seterusnya.


Ketika ditanya mengenai bantahan rasmi terhadap pasukan Myanmar kerana menurunkan pemain lebih umur, jurulatih berusia 41 tahun kelahiran Melaka itu menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membuat tindakan.

Laporan bantahan pertama sudah dihantar kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebaik tamat perlawanan dengan Myanmar namun FAM perlu membuat laporan bantahan rasmi kedua dalam tempoh 48 jam selepas tamat perlawanan itu.

Jika benar Kim Swee membuat tindakan drastik mahu melepaskan jawatan itu, ia satu kerugian besar buat negara memandangkan beliau dianggap ‘pencari bakat’ terbaik di kalangan jurulatih tempatan.

Selain membawa skuad Olimpik negara berada di kalangan 12 pasukan terbaik Asia apabila layak beraksi di peringkat kumpulan kelayakan Sukan Olimpik London dan menjuarai pingat emas Sukan Sea tahun lalu, beliau juga berjaya mencungkil ramai bakat baru.

Kim Swee antara watak penting yang mengetengahkan Muhammad Nazmi Faiz Mansor pada Sukan Sea sehingga berjaya mendapat kontrak bersama kelab Portugal SC Beira-Mar. Selain itu dua lagi pemain Wan Zack Haikal Wan Noor dan Wan Zaharulnizam Zakaria bakal menjalani percubaan dengan kelab Divisyen 3 Jepun, FC Ryukyu dalam tempoh terdekat ini

Sumber : Metro

No comments:

Post a Comment