Nuffnang Ads

Sunday, July 8, 2012

Kongres FAM tidak sah: Annuar Musa



Kongres tidak sah: Annuar

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah (kiri) diiringi Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad (kanan) berkenan menghadiri Kongres Tahunan Ke-48 FAM
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang digantung, Tan Sri Annuar Musa mendakwa Kongres Tahunan Ke-48 badan induk bola sepak kebangsaan itu yang berlangsung di salah sebuah hotel di ibu negara semalam tidak sah.

Annuar menyifatkan, notis memanggil ahli-ahli gabungan untuk bersidang yang dikeluarkan oleh urus setia tidak mengikut saluran betul berdasarkan peraturan yang terkandung di dalam Statut FAM.

“Sehingga pagi ini (semalam), kurang dua jam sebelum kongres berlangsung, saya masih menerima aduan daripada ahli gabungan yang menyatakan belum menerima agenda mesyuarat tersebut. Bagi saya kongres yang berlangsung hari ini (semalam) adalah tidak sah.

“Sudah termaktub dalam Status FAM iaitu tarikh, masa dan tempat hendaklah diputuskan oleh Jawatankuasa Eksekutif dan bukan secara terus. Mesyuarat terakhir saya hadiri (sebelum beliau digantung) berlangsung pada 4 Februari lalu tidak ada dicatatkan dalam minit mesyuarat mengenai perkara tersebut.

“Tiba-tiba pihak urus setia pula mengeluarkan notis berkenaan pada 28 Mac dengan menyatakan tarikh, masa dan tempat bersidang, persoalannya siapa yang putuskan. Bagi saya, kalau bukan Jawatankuasa Eksekutif yang putuskan, ia dianggap tidak sah.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kejohanan Futsal Prudential di sini semalam. Hadir sama, Pengurus Agensi Prudential Wilayah Timur, Lim Wan Bun.Menurut Annuar, pengesahan mengenai perkara tersebut hanya diputuskan dalam Mesyuarat Exco FAM yang bersidang pada Mei lalu dan ia tidak mencukupi tempoh 90 hari sebagaimana terkandung dalam statut tersebut.

“Syarat dalam statut menyatakan Jawatankuasa Eksekutif memerlukan tempoh 90 hari untuk memutuskan perkara berkenaan. Memang notis pada 28 Mac itu sudah cukup 90 hari, tetapi pada masa itu tarikh, masa dan tempat tidak diputuskan. Sebaliknya, ia hanya diputuskan oleh jawatankuasa berkenaan Mei lalu.

Malah, Annuar terus menempelak urus setia berkenaan yang seolah-olah mengambil sikap acuh tidak acuh di dalam menguruskan pelaksanaan kongres tahunan badan induk bola kebangsaan itu.

“Pada saya, perkara ini tidaklah besar sangat, tetapi ia menggambarkan kita mengurus perkara dengan cara yang salah.

"Bila kongres hendak diadakan, ahli gabungan hendaklah diberi ruang menilai agenda mesyuarat paling kurang 30 hari sebelum ia berlangsung.

"Tetapi hari ini (semalam) pun masih ada mereka yang belum menerima agenda berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment