KOTA BHARU - Kelantan menamatkan saingan Liga Super 2012 dengan kemenangan apabila membenam Sarawak 3-1 pada perlawanan terakhir musim ini di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.
Kelantan, yang mengesahkan kejuaraan liga lebih awal iaitu pada dua perlawanan terakhir, mengakhiri kempen dengan 60 mata.
Kemenangan semalam cukup manis buat barisan pemain Red Warriors, apabila menjulang trofi Liga Super di depan 18,000 penyokong yang menyaksikan perlawanan.
Semalam, Red Warriors tidak diberi laluan mudah oleh skuad Robert Albert yang mendominasi perlawanan.
Namun Kelantan berjaya mendahului hasil sepakan bebas ketua pasukan Mohd. Badhri Radzi pada minit ke-61.
Empat minit kemudian, Stadium Sultan Muhammad IV sekali lagi bergemuruh apabila pemain sayap Nor Farhan Mohammad meledakkan gol kedua tuan rumah sebelum pemain itu meledak gol kedua peribadi pada minit ke-67.
Sarawak mencuri satu gol pada minit ke-69 menerusi Mohd. Hairul Moktar.
Sementara itu, Kuala Lumpur yang gagal mencatat sebarang kemenangan ini tersingkir ke Liga Perdana musim depan.
Tiga lagi pasukan iaitu Sarawak (ke-11), Kedah (ke-12) dan Sabah (ke-13) akan beraksi pada playoff bersama-sama pasukan kedua Liga Perdana, Pahang.
Dalam saingan playoff yang akan berlangsung Selasa ini, Sarawak menentang Pahang di Stadium Hang Jebat manakala Kedah bertemu Sabah di Stadium Hang Tuah.
Pemenang kedua-dua perlawanan tersebut akan bertemu dalam saingan akhir playoffpada 19 Julai di Stadium Hang Jebat.
Pemenang playoff tersebut bakal mengiringi ATM, yang layak secara automatik ke Liga Super musim depan.
Sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment