Nuffnang Ads

Monday, July 16, 2012

Misi buru Piala Malaysia, Kafa pancing 3 pemain luar



Azman Ibrahim

KOTA BHARU – Selepas menjulang trofi Liga Super buat kali kedua berturut-turut, The Red Warriors kini meletakkan sasaran mahu merampas kejuaraan Piala Malaysia yang pernah dimenangi dua musim lalu.

Pentas Piala Malaysia edisi ke-86 yang akan membuka tirai penghujung bulan depan bakal menjadi kayu pengukur kekuatan sebenar Kelantan yang kini memburu kejuaraan ketiga mereka pada musim ini.

Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim berkata, anak buahnya tidak boleh terlalu alpa dengan kejayaan menjulang trofi Liga Super ketika ini sebaliknya perlu membentuk pasukan yang lebih mantap bagi menghadapi pertandingan paling berprestij itu.

“Pemain perlu tahu, kita masih ada tugas yang belum selesai. Selepas meraih Piala FA dan Liga Super, kita menetapkan sasaran untuk memburu Piala Malaysia pula,” katanya kepada pemberita sejurus majlis penyampaian piala dan medal kepada barisan pemain dan pegawai Kelantan malam kelmarin.

“Kita tersekat di peringkat suku akhir (tewas kepada Terengganu) musim lalu. Harap kita kembali fokus dalam saingan kali ini. Namun kita tidak boleh mendabik dada kerana banyak pasukan berazam mahu menewaskan kita dalam kempen Piala Malaysia nanti.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Azman turut mendedahkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kini dalam proses memancing tiga pemain daripada pasukan lain bagi memperkuatkan The Red Warriors dalam masa terdekat.

“Saya tidak boleh dedahkan lebih lanjut kerana semuanya masih dalam perbincangan. Mungkin kita pinjam pemain daripada pasukan yang tidak layak beraksi dalam kempen Piala Malaysia seperti Sabah dan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Azman menyifatkan Kelantan wajar dinobatkan selaku juara Liga Super berdasarkan kerja keras dan semangat berpasukan yang ditonjolkan barisan pemain dan pegawai pasukan mereka sepanjang musim ini.

“Secara peribadi, saya anggap kita merupakan satu-satunya pasukan yang cukup sukar ditewaskan meski pun kita tewas 0-1 kepada Felda United FC baru-baru ini. Berkat kesungguhan semua pihak kita mampu mempertahankan kejuaraan sekali lagi musim ini.

“Trofi kemenangan ini khas untuk penyokong setia Kelantan yang memberikan sokongan tidak putus-putus kepada kami sepanjang musim ini,” katanya.


Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment